Krisis takhta N sembilan: Komplot singkir Yang di-Pertuan Besar sah gagal


Penarikan balik surat sembah maklum oleh Menteri Besar Negeri Sembilan dan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, disifatkan sebagai bukti kegagalan komplot politik untuk menyingkirkan institusi diraja negeri itu.
Kenyataan bersama empat Ahli Parlimen Melayu DAP hari ini menganggap perkembangan terbaharu itu merupakan kemenangan mutlak kepada institusi diraja Negeri Sembilan.
"Dengan ini, maka lengkaplah pusingan U watak-watak Umno, MCA, Pas dan Wawasan dalam komplot menggulingkan salah seorang Raja-raja Melayu," kata mereka dalam kenyataan.
Menurut mereka, kemelut berkenaan bermula susulan tindakan biadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa mencetuskan kemelut perlembagaan dan politik di negeri itu sejak lebih tiga bulan lalu.
"Kononnya sebelum ini mereka bertindak mempertahankan adat, tetapi dengan perkembangan ini jelas bahawa apa yang mereka pertahankan itu sebenarnya melanggar apa yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
"Mereka secara natijahnya mengakui bahawa mereka secara salah telah berkomplot untuk menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan menggantikan Tuanku Muhriz dengan individu lain," kata mereka.
Sehubungan itu, empat Ahli Parlimen Melayu DAP berkenaan menggesa semua pihak yang terbabit supaya memohon ampun secara terbuka kepada Tuanku Muhriz serta Raja-raja Melayu lain berhubung tindakan yang didakwanya melampaui batas.
Mereka turut menuntut kepimpinan pusat BN dan PN menjelaskan sama ada mereka mengetahui atau merestui tindakan Menteri Besar serta bekas Exco berkenaan kerana belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada empat parti tersebut berhubung kemelut terbabit.
Dedah hasil siasatan ke atas MB dan Exco
Dalam pada itu, Ahli Parlimen DAP juga menggesa pihak berkuasa mendedahkan perkembangan dan hasil siasatan terhadap Menteri Besar serta bekas Exco tersebut berhubung krisis perlembagaan Negeri Sembilan.
"Kami menggesa supaya pihak berkuasa memaklumkan kepada umum apa keputusan siasatan ke atas Menteri Besar dan mantan-mantan Exco ini, kerana pada kami tindakan melampau ini wajar dibawa ke muka pengadilan," katanya.
Mereka turut membangkitkan kedudukan Umno dalam Kerajaan Perpaduan dengan mendakwa parti itu telah melanggar batas kerjasama kerajaan apabila isu melibatkan kemuliaan institusi Raja-raja Melayu tercetus.
"Sudah terbukti bahawa Umno dan Barisan Nasional telah melanggar garis merah Kerajaan Perpaduan kerana menyentuh kemuliaan Raja-raja Melayu dan Sekretariat Kerajaan Perpaduan harus mengambil tindakan selanjutnya untuk menentukan keberadaan Umno dalam Kerajaan," kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan; Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Ahli Dewan Negara, Sheikh Umar Bagharib Ali; dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.
Untuk rekod, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menarik balik surat persembahan maklum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bertarikh 17 Sept 2026 berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menurut Ismail, keputusan itu dibuat berdasarkan kenyataan media Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Oktober 2026 serta perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun 2026.
Menerusi surat yang dikeluarkan pada 10 November lalu, Ismail menjelaskan bahawa perintah mahkamah berkenaan mengekalkan status quo kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.




Comments