Keutamaan ASEAN: Perkukuh kesatuan, ekonomi digital, keselamatan tenaga


ASEAN perlu memastikan integrasi ekonomi terus diperkukuh supaya pertumbuhan dan kemakmuran rantau ini tidak hanya tertumpu kepada kelompok tertentu, sebaliknya memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan memperkukuh kesatuan, Kepusatan ASEAN (ASEAN Centrality) dan autonomi strategik bagi memastikan rantau Asia Tenggara kekal berdaya tahan dalam menghadapi perubahan geopolitik serta ketidaktentuan ekonomi global.
Ketika berucap pada Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Anwar berkata negara anggota perlu memperkukuh kerjasama berteraskan Visi Komuniti ASEAN 2045, termasuk memastikan manfaat pembangunan dan integrasi ekonomi dapat dinikmati seluruh rakyat.
Beliau turut menggariskan beberapa bidang kerjasama strategik yang perlu diberi perhatian, antaranya ekonomi digital, tadbir urus kecerdasan buatan (AI), keterjaminan makanan dan bekalan ubat-ubatan serta pembangunan rangkaian tenaga serantau.
Anwar berkata, ASEAN perlu memastikan integrasi ekonomi terus diperkukuh supaya pertumbuhan dan kemakmuran rantau ini tidak hanya tertumpu kepada kelompok tertentu, sebaliknya memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat.
Ekonomi digital, tadbir urus AI diberi keutamaan
Dalam bidang ekonomi digital, Perdana Menteri menyambut baik pemeteraian Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang disasarkan membantu menggandakan nilai ekonomi digital rantau ini kepada AS$2 trilion menjelang 2030.
Beliau turut mengingatkan bahawa pembangunan dan tadbir urus kecerdasan buatan tidak seharusnya ditentukan semata-mata oleh kepentingan komersial segelintir syarikat teknologi global.
Sebaliknya, negara anggota perlu memperkukuh keupayaan teknologi bersama, melindungi kedaulatan data serta membangunkan kerangka tadbir urus AI yang mengutamakan ketelusan dan akauntabiliti.
Keselamatan makanan, ubat-ubatan, tenaga
Dalam aspek keterjaminan makanan, Anwar menggesa negara ASEAN mempelbagaikan sumber bekalan makanan dan ubat-ubatan serta meningkatkan kapasiti pengeluaran serantau bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar.
Beliau turut mencadangkan perdagangan intra-ASEAN bagi input pertanian seperti baja, benih dan makanan ternakan dipertingkat, selain memastikan bekalan keperluan asas dapat bergerak tanpa gangguan ketika krisis.
Bagi sektor kesihatan, kerjasama boleh diperkukuh melalui pengiktirafan bersama kelulusan kawal selia ubat-ubatan, pembelian secara bersama serta pembangunan kapasiti pengeluaran ubat dan vaksin penting di rantau ini.
Mengenai tenaga pula, beliau menyifatkan ASEAN Power Grid (APG) sebagai keutamaan strategik yang perlu dipercepat bagi membolehkan perkongsian tenaga boleh baharu merentas sempadan serta menjamin bekalan tenaga yang lebih mampu milik, selamat dan mampan.
Biodiversiti, diplomasi sains
Anwar turut mengangkat kepentingan diplomasi sains, pemeliharaan biodiversiti dan tindakan menangani jerebu rentas sempadan.
Beliau menegaskan sumber biodiversiti ASEAN perlu diurus secara mampan dan saksama serta dilindungi daripada eksploitasi dan penyalahgunaan pihak luar kerana ia berkait rapat dengan kedaulatan serantau, keselamatan makanan dan air serta daya tahan terhadap perubahan iklim.
Malaysia turut mengemukakan cadangan diplomasi sains dan dana jerebu mampan bagi memperkukuh kerjasama saintifik, membuat keputusan berasaskan bukti serta menyediakan pembiayaan lebih terjamin untuk pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.
Hubungan seimbang hadapi kuasa besar
Dalam hubungan dengan rakan luar, Anwar menegaskan ASEAN perlu terus berpegang kepada prinsip Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) serta mengekalkan hubungan yang seimbang dan konstruktif dengan semua kuasa besar.
Menurut beliau, prinsip TAC penting bagi memastikan hubungan luar ASEAN dibina atas asas saling menghormati dan kerjasama, bukannya menjadikan rantau ini medan persaingan kuasa besar.
Beliau turut mengingatkan bahawa kesatuan, Kepusatan ASEAN dan autonomi strategik perlu terus menjadi panduan bersama dalam menghadapi perubahan landskap geopolitik antarabangsa.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 yang berlangsung di Manila dari 15 hingga 17 November ini dianjurkan Filipina selaku Pengerusi ASEAN 2026 dengan tema “Navigating Our Future, Together”.
Penyertaan Malaysia dalam sidang itu mencerminkan komitmen negara untuk terus menyumbang kepada pembentukan ASEAN yang bersatu, berdaya tahan dan mampu melindungi kepentingan strategik rantau ini.




Comments