PRN Melaka: PH masih berminat teroka peluang kerjasama - Amirudin


Pakatan Harapan (PH) masih mengintai ruang kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan, termasuk Barisan Nasional (BN), bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan beliau telah mendengar semua pandangan daripada kepimpinan PH Melaka dalam satu pertemuan yang diadakan pada Selasa.
"Saya perlu kemukakan dapatan ini kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN supaya kita boleh membuat keputusan dasar bagi langkah seterusnya," katanya dipetik laporan media.
Menteri Besar Selangor itu ditemui pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jalan dan Lebuhraya Selangor 2026–2035 (JALUR Selangor) di Shah Alam pada Rabu.
Mengulas lanjut mengenai kemungkinan kerjasama pada PRN tersebut, Amirudin memaklumkan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pelbagai parti politik dalam masa terdekat bagi meneroka peluang yang ada.
"Ia bagi menentukan sama ada kita bertanding atas persefahaman bersama beberapa pihak, atau kita memberi fokus kepada kawasan sedia ada di samping mencapai persetujuan tertentu dengan pihak-pihak berkaitan," jelasnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Oktober depan bagi membincangkan urusan PRN Melaka susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 23 September lalu.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi secara keseluruhan. Sekurang-kurangnya 15 kerusi diperlukan bagi membolehkan mana-mana gabungan politik membentuk kerajaan negeri.




Comments