PRN Melaka: PH intai rampas kerusi DUN lawan


Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja berhasrat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada, malah bertekad untuk merampas beberapa kerusi berpotensi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah komunikasinya, Datuk Seri Fahmi Fadzil (gambar) berkata Mesyuarat Majlis Presiden PH menetapkan usaha mempertahankan kerusi sedia ada sebagai keutamaan dan melihat peluang untuk menambah kerusi menerusi strategi dan gerak kerja yang bersesuaian.
"Jadi, sekiranya usaha dan ikhtiar kita serta strategi yang kita manfaatkan kena pada tempatnya, tidak mustahil kita mampu membawa perubahan," katanya dipetik laporan media.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata begitu kepada pemberita selepas menghadiri satu acara bersempena Deepavali di Lembah Pantai.
Mengulas lanjut mesyuarat tersebut, Fahmi memaklumkan Majlis Presiden PH turut menerima taklimat daripada Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dan Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Melaka, Adam Adli Abdul Halim berhubung tahap kesiapsiagaan di peringkat negeri.
Calon-calon PH yang diumumkan sebelum ini juga jelasnya sedang memperkukuh gerak kerja masing-masing sebagai persediaan menghadapi proses pilihan raya termasuk penamaan calon pada 31 Oktober ini.
"Kita percaya menjelang 31 Oktober nanti, insya-Allah calon-calon PH bersedia untuk berdepan dengan semua yang akan bertanding dalam PRN Melaka," tambahnya.




Comments