top of page

Karnival Sukan PEWARGA himpun 1,500 peserta, perkukuh perpaduan komuniti

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
40 minutes ago
2 min read
Lai bersama juara Karnival Sukan PEWARGA 2026
Lai bersama juara Karnival Sukan PEWARGA 2026

Karnival Sukan PEWARGA 2026 baru baru ini berjaya menghimpunkan 1,500 peserta daripada kampung-kampung warisan di sepanjang koridor Jalan Gombak, Kuala Lumpur, sekali gus memperkukuh perpaduan masyarakat menerusi aktiviti sukan dan semangat kebersamaan.


Mantan Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lai Chen Heng berkata penganjuran edisi keempat berturut-turut itu membabitkan 14 kontinjen lelaki dan 10 kontinjen wanita yang bersaing dalam 19 acara sukan.


Antara acara dipertandingkan ialah snuker, badminton, bola sepak terbuka dan veteran, dart, ping pong, sukaneka serta pertandingan melastik yang diperkenalkan buat pertama kali.


Menurutnya, kemuncak karnival diserikan dengan majlis makan malam, penyampaian pingat dan hadiah di Dewan/Gelanggang Futsal PKGS Batu 6 Gombak.


Beliau berkata kejayaan penganjuran itu lebih bermakna apabila karnival berkenaan dapat dilaksanakan dengan teratur walaupun beberapa program sukan di lokasi lain terpaksa dibatalkan berikutan ancaman jerebu.

Lai memberi ucapan
Lai memberi ucapan

"Saya amat bersyukur dan berbangga kerana tatkala pelbagai penganjuran hari sukan di lokasi lain terpaksa dibatalkan akibat ancaman jerebu, Karnival Sukan PEWARGA tetap berjaya dilaksanakan dengan amat teratur, lancar dan berdisiplin.


"Ini membuktikan kecekapan pengurusan serta komitmen tinggi barisan urus setia dan jawatankuasa pelaksana dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan keselesaan semua pihak sentiasa terjamin," katanya dalam kenyataan.


Lai berkata, PEWARGA berperanan sebagai jambatan yang merapatkan hubungan komuniti di sepanjang Jalan Gombak, merentasi sempadan pentadbiran Parlimen Wangsa Maju dan Parlimen Gombak.


Beliau turut menyifatkan keunikan pertubuhan itu terletak pada keupayaannya menghimpunkan masyarakat kampung warisan yang mempunyai latar belakang dan kecenderungan politik berbeza.


"Saya berasa amat berbesar hati dan bangga kerana menjadi satu-satunya warga bukan daripada kaum Melayu mahupun suku Minangkabau yang diberi penghormatan sebagai penaung aktiviti sukan ini.


"Perpaduan di sepanjang Jalan Gombak amat unik kerana ikatan kemasyarakatannya yang begitu utuh, di mana PEWARGA berdiri kukuh sebagai satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berupaya menyatukan seluruh kampung warisan di kawasan ini," katanya.


Beliau berkata, semangat kebersamaan yang dibina menerusi PEWARGA berakar daripada cetusan idea pengasasnya, Tuan Haji Khairul Bahri Ishak, putera kepada aktivis politik veteran Allahyarham Haji Ishak Surin.


Mengulas landskap politik semasa, Lai menjelaskan, usaha memperkukuh komuniti setempat perlu diberikan perhatian tanpa membiarkan perbezaan ideologi politik menjejaskan hubungan masyarakat.


Katanya, pengalaman PEWARGA membuktikan perpaduan boleh diperkukuh apabila masyarakat mengutamakan kepentingan bersama berbanding perbezaan politik.


"Saya memberi tabik hormat kepada kepimpinan PEWARGA yang terbukti mampu memantapkan perpaduan komuniti yang dahulunya terbahagi mengikut ideologi politik," katanya.


Beliau berkata, meskipun dirinya daripada KEADILAN, beliau dapat menyelami kehidupan masyarakat kampung warisan di kawasan itu, sekali gus mencerminkan kepentingan membina hubungan merentasi perbezaan latar belakang.


Menurutnya, perpaduan sedemikian turut disokong oleh pendekatan pentadbiran Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor yang prihatin terhadap keperluan rakyat.


Lai turut merakamkan penghargaan kepada pihak Parlimen Gombak atas komitmen dan sokongan terhadap penganjuran karnival berkenaan, selain mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, atas sumbangan bagi menampung sebahagian besar kos penganjuran.


Penghargaan turut diberikan kepada Pengurus Parlimen Gombak, Faizal Ismail atau Cojack; Pengerusi Masjid Zaid Bin Haritsah, Haji Aizul Adnan; Hayee Zailani daripada KEADILAN Gombak; serta seluruh jawatankuasa pelaksana dan peserta.


Beliau berharap keterbukaan dan komitmen PEWARGA dapat dijadikan contoh oleh komuniti lain dalam usaha mengekalkan keharmonian serta membina jaringan masyarakat kampung yang lebih kukuh dan sejahtera.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page