PM tekankan kepentingan majlis ilmu subur kefahaman agama


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menerima kunjungan tokoh pendakwah terkenal dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara, sempena Majlis Ilmu MADANI yang berlangsung di Seri Perdana, Putrajaya.
Menerusi perkongsian beliau, Anwar menekankan kepentingan penganjuran majlis ilmu bersama tokoh agama bagi menyuburkan kefahaman Islam serta menjadikan ilmu sebagai panduan dalam pemikiran, pembentukan hati dan amalan seharian.
Menurut beliau, penghayatan ilmu agama perlu berteraskan tradisi keilmuan yang kukuh, khususnya ilmu akidah, agar masyarakat dapat membina kefahaman yang lebih mendalam dan mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan.
Dalam sesi tausiah, Ustaz Abdul Somad mengangkat tema perpaduan dalam kepelbagaian budaya dan agama dengan mengambil iktibar daripada kehidupan serta teladan Rasulullah SAW.
Anwar berkata, pendekatan penyampaian Ustaz Abdul Somad turut membantu menghubungkan khazanah ilmu tradisional Islam dengan realiti kehidupan masyarakat, sekali gus menjadikan persoalan agama lebih dekat dengan pengalaman seharian.
Beliau berharap agar Allah SWT terus memelihara hikmah Ustaz Abdul Somad dalam medan dakwah, mengurniakan kebijaksanaan serta menjadikan ilmunya sebagai jambatan yang menyentuh hati dan membimbing masyarakat.
Penganjuran Majlis Ilmu MADANI mencerminkan kepentingan budaya menuntut ilmu dalam membina masyarakat yang berpengetahuan, berakhlak dan mampu memelihara keharmonian dalam kepelbagaian.




Comments