Kementerian Pendidikan sedia kemudahan sekolah baharu, berkualiti


Sebanyak 131 projek pembinaan sekolah baharu dan sekolah gantian diluluskan bagi tempoh 2023 hingga 2027.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, keseluruhan projek membabitkan kos berjumlah RM14.789 bilion dengan sembilan sekolah diluluskan pada 2023, diikuti 26 sekolah dan 44 sekolah, masing-masing pada 2024 dan 2025.
"Tahun ini pula, 38 sekolah telah diluluskan dan 14 lagi dijadual diluluskan pada 2027.
"Pembangunan infrastruktur pendidikan itu merangkumi pembinaan sekolah baharu, sekolah gantian, penggantian bangunan serta kerja pengubahsuaian menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS)," katanya dipetik di Dewan rakyat semalam.
Fadhlina berkata begitu ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi Kementerian Pendidikan (KPM).
Mengulas lanjut beliau turut memaklumkan, kementeriannya memberi tumpuan khusus kepada Sabah dan Sarawak bagi memastikan jurang pendidikan dirapatkan serta memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati secara adil.
KPM juga sedia memberi tumpuan dan keutamaan kepada penyediaan kemudahan yang selamat, kondusif serta berkualiti, khususnya di kawasan luar bandar.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina berkata, kementerian itu juga memperkukuh usaha menangani buli dan salah laku disiplin di sekolah menerusi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) secara berperingkat.
Sebanyak RM3 juta diperuntukkan pada 2025 bagi pemasangan CCTV di 200 sekolah, diikuti RM5 juta untuk 333 sekolah pada 2026, manakala RM15 juta disediakan bagi 2027.
Bagi memperkukuh keselamatan di sekolah dan institusi pendidikan, KPM menempatkan 300 pembantu warden asrama pada 2026 untuk menjalankan rondaan malam secara berfokus.
Katanya, jumlah itu akan ditingkatkan kepada 500 orang pada tahun depan susulan keberkesanannya dalam mencegah insiden buli.




Usaha KPM menyediakan sekolah baharu yang berkualiti amat dipuji, namun adakah peruntukan besar ini akan diagihkan secara adil ke kawasan luar bandar? Salam <a href="https://jakarta.telkomuniversity.ac.id/manfaat-ai-dalam-dunia-akademik/">Telkom University Jakarta</a>