top of page

Kurang budaya membaca era digital, jejas pemikiran peradaban manusia

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
55 minutes ago
1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan bahawa kemerosotan budaya membaca dan menelaah dalam era digital boleh menjejaskan kedalaman pemikiran serta masa depan peradaban manusia.


Menerusi perkongsian beliau, Anwar berkata, beliau meluangkan masa membaca karya terbaharu penulis James Marriott, The New Dark Ages: The End of Reading and the Dawn of a Post-Literate Society, yang membangkitkan persoalan mengenai kemerosotan budaya membaca, kedangkalan pemikiran dan cabaran masyarakat dalam arus perkembangan digital.


Menurut beliau, ancaman terhadap peradaban bukan sekadar berkaitan akses kepada ilmu, sebaliknya turut melibatkan lambakan maklumat yang tidak semestinya disertai kecintaan terhadap pembacaan, kesabaran untuk menelaah dan keupayaan berfikir secara kritis serta mendalam.


Beliau turut mengimbas pemergian dua tokoh sastera dunia, Victor Hugo pada 1885 dan Fyodor Dostoevsky pada 1881, yang menyaksikan kehadiran orang ramai dalam jumlah besar untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mereka.


Anwar berkata, peristiwa berkenaan menggambarkan bagaimana tokoh sastera dan pemikir pernah mendapat tempat yang tinggi dalam masyarakat, bukan kerana kedudukan sebagai pemerintah atau panglima perang, tetapi melalui karya serta pemikiran yang menyentuh jiwa dan sanubari manusia.


Beliau menegaskan bahawa masyarakat hari ini mungkin semakin kaya dengan maklumat, namun keadaan itu tidak semestinya menjadikan manusia lebih bijaksana.


"Justeru, persoalannya bukan sekadar apakah manusia masih membaca, tetapi apakah manusia masih mahu berfikir," katanya.


Perkongsian itu mengajak masyarakat menilai semula kedudukan budaya membaca dalam kehidupan seharian, khususnya ketika maklumat mudah diperoleh melalui teknologi digital, tetapi pembacaan mendalam dan pemikiran kritis tetap memerlukan masa, tumpuan serta kesungguhan.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page