PRN Melaka: Cabang Hang Tuah Jaya sokong penuh MPN lakukan persediaan, rundingan


KEADILAN Cabang Hang Tuah Jaya menegaskan pendiriannya untuk berdiri teguh bersama kepimpinan negeri dalam menentukan hala tuju terbaik menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, susulan beberapa pendirian terbuka yang dizahirkan pimpinan Umno.
Ketua Penerangannya, Ts Yazid Borhan berkata, pendirian berkenaan dinyatakan susulan beberapa pandangan yang dikemukakan pimpinan Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 baru baru ini, khususnya Ketua Pemuda, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Yazid berkata, hak Umno untuk menyatakan pendirian, memperkukuh identiti serta menentukan kepentingan politik partinya yang perlu dihormati kerana kerjasama matang tidak bermaksud menyembunyikan perbezaan, sebaliknya mengurusnya dengan sikap saling menghormati.
"Keterbukaan sedemikian harus dilihat secara positif kerana kerjasama yang matang bukan dibina dengan menyembunyikan perbezaan, tetapi apabila setiap parti jelas tentang pendirian masing-masing dan saling menghormatinya.
"Atas semangat yang sama, KEADILAN Melaka juga mempunyai tanggungjawab untuk terus memperkukuh organisasi, mempersiapkan jentera dan mempertahankan prinsip perjuangannya menjelang PRN Melaka.
"Dalam hal ini, seluruh saf kepimpinan KEADILAN Cabang Hang Tuah Jaya menyatakan sokongan penuh kepada Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Melaka untuk mengemudi persediaan serta sebarang rundingan politik bagi menghadapi pilihanraya nanti," katanya menerusi satu kenyataan,
Dalam kenyataan sama, Yazid berkata pihaknya yakin bahawa MPN KEADILAN Melaka memahami kekuatan parti di lapangan, aspirasi akar umbi serta keperluan memastikan setiap keputusan mengambil kira kepentingan KEADILAN, di samping memelihara kestabilan dan semangat Kerajaan Perpaduan.
"Apa yang diperlukan daripada kami di peringkat Cabang dan akar umbi bukanlah untuk mendahului keputusan kepimpinan, tetapi memastikan apabila keputusan dimuktamadkan, KEADILAN berada dalam keadaan paling bersedia untuk melaksanakannya.
"Justeru, jentera mesti terus bergerak. Persediaan organisasi perlu diperkemas, isu tempatan perlu difahami, hubungan dengan masyarakat mesti diperkukuh dan kesiapsiagaan parti perlu dibina dari sekarang," katanya.
Menurut Yazid lagi, pendirian terbuka yang dizahirkan oleh pimpinan UMNO juga memberikan satu isyarat politik yang wajar diteliti.
"Setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu mempunyai keyakinan terhadap identiti, prinsip dan tanggungjawabnya sendiri.
"KEADILAN tidak meminta Umno menjadi kurang Umno dan KEADILAN juga tidak harus menjadi kurang KEADILAN.
"Perbezaan pendirian tidak semestinya melemahkan kerjasama, sebaliknya apabila setiap pihak jelas mengenai prinsip dan tanggungjawab masing-masing, rundingan dapat berlangsung dengan lebih matang, jujur dan saling menghormati," ujarnya lagi.




Comments