CSA: Kerajaan sedia runding dengan Ahli Parlimen lain - Fahmi


Kerajaan MADANI bersedia untuk menjalin Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) dengan mana-mana Ahli Parlimen pembangkang demi memastikan kestabilan negara.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pemeteraian dokumen persefahaman itu bukan sahaja memberi impak positif kepada kestabilan politik, malah memperkukuh iltizam kerajaan untuk menjayakan agenda reformasi institusi.
"CSA ini tidak terbatas kepada 13 orang Ahli Parlimen ini sahaja, ia terbuka kepada mana-mana Ahli Parlimen yang berhasrat untuk datang berbincang dan menandatangani CSA. Jadi pintu perbincangan itu kekal terbuka," katanya dipetik.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata begitu pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di Putrajaya, pada Jumaat.
Pada Khamis, seramai 13 Ahli Parlimen memeterai perjanjian persefahaman rasmi bersama kerajaan di Bangunan Parlimen, bertujuan menjamin kestabilan pentadbiran dan menyokong kelulusan rang undang-undang utama di Dewan Rakyat.
Sebagai timbal balas, persefahaman dwipartisan itu menggariskan komitmen bersama terhadap pelaksanaan beberapa siri agenda reformasi institusi, semak dan imbang, serta peruntukan kawasan yang lebih adil demi kepentingan rakyat.
Sementara itu sebagai mengulas mengenai pemantauan pelaksanaan janji reformasi yang termaktub dalam dokumen berkenaan, Fahmi menjelaskan kerajaan bercadang mengguna pakai mekanisme semakan bersama (joint assessment) seperti model persefahaman politik yang pernah dilaksanakan pada sesi Parlimen terdahulu (2021–2022).
"Kita lihat itu mungkin satu cara untuk kita laksanakan sama seperti apa yang pernah kita saksikan dahulu. Pihak kerajaan berhasrat untuk melaksanakan apa yang kita telah janjikan dalam CSA ini dan ia amat penting, terutama aspek-aspek reformasi institusi," katanya.




Comments