PRN Melaka: Belum ada keputusan kerjasama - Amirudin


Sebarang keputusan berhubung kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih belum dimuktamadkan
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata PH perlu melihat terlebih dahulu sejauh mana perbincangan antara pihak berkaitan di Melaka, termasuk kemungkinan membentuk kerjasama PH Plus.
Tambahnya, sebarang kesepakatan yang dicapai di Melaka perlu dirujuk kepada pimpinan di peringkat pusat sebelum keputusan dibuat.
"Kita kena tengok dulu sejauh mana perbincangan dengan pihak YB Adly (Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari) di Melaka.
"Kalau ada kesepakatan, saya harus rujuk di pihak PH Pusat dan kalau ada pengesahan itu kita akan teruskan," katanya dipetik ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Jentera Pilihan Raya Keadilan Masjid Tanah di Kuala Sungai Baru.
Beliau sementara itu berkata, PH ketika ini memberi keutamaan kepada penyelesaian pembahagian kerusi antara komponen gabungan itu sebelum memuktamadkan sebarang bentuk penjajaran dengan pihak lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin mahu Barisan Nasional (BN) Melaka menjelaskan pendiriannya berhubung kemungkinan kerjasama pilihan raya Melaka susulan tiada perkembangan mengenai perkara itu setakat ini.
Beliau menegaskan, PH tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya BN tidak berminat untuk bekerjasama, namun meminta pendirian itu dimaklumkan.
"Setakat ini tidak ada lagi ura-ura mereka mahu kerjasama, mungkin mereka tak minat.
"Jadi kita tiada masalah kalau tak minat, bagi tahu saja kita teruskan (kerjasama tanpa BN)," katanya.




Comments