PRN Johor: Tiga Ujian Besar Bakal Bentuk Naratif Politik Malaysia
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Shahbudin Embun
ULASAN: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 bukan sekadar medan memilih Kerajaan Negeri. Pada hemat saya, ia juga merupakan satu ujian politik yang akan memberi petunjuk terhadap beberapa persoalan besar yang sedang diperhatikan oleh pemerhati politik, ahli akademik dan rakyat Malaysia.
Johor mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sejarah politik negara. Justeru, keputusan PRN ini berkemungkinan menjadi petunjuk kepada corak politik nasional menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Ujian pertama: Persepsi rakyat terhadap kestabilan politik
Perkara pertama yang bakal dinilai ialah sejauh mana rakyat melihat kestabilan politik sebagai faktor penting dalam membuat pilihan.
Dalam membincangkan perkara ini, saya ingin menegaskan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Di bawah sistem ini, Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mempunyai peranan yang dimaktubkan oleh Perlembagaan, manakala kerajaan dipilih melalui proses demokrasi oleh rakyat.
Oleh itu, isu yang relevan untuk dianalisis bukanlah berlingkar di sekitar institusi diraja, tetapi bagaimana rakyat mentafsir faktor kestabilan, kesinambungan pentadbiran dan hubungan baik antara institusi-institusi negara dalam memastikan kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.
Sebagai ketua negeri, lumrah bahawa seseorang Raja sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat jelata.
Namun demikian, mandat politik tetap diputuskan oleh pengundi melalui pilihanraya mengikut lunas Perlembagaan.
Ujian kedua: Adakah PH berjaya dekati generasi muda?
PRN Johor menjadi medan untuk menilai sejauh mana Pakatan Harapan berjaya mengekalkan atau memperluaskan sokongan generasi muda.
Pengundi muda hari ini semakin matang dan cenderung menilai parti politik berdasarkan dasar, peluang pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, pembangunan digital dan masa depan ekonomi.
Sekiranya PH berjaya meyakinkan kelompok ini bahawa mereka menawarkan penyelesaian yang lebih baik, maka sokongan generasi muda boleh menjadi faktor penting dalam beberapa kerusi marginal.
Namun jika mesej tersebut gagal diterjemahkan kepada keyakinan pengundi muda, keputusan pilihanraya mungkin tidak begitu memihak.
Ujian ketiga: Mampukah Pas tingkat prestasi di Johor?
Johor secara tradisinya mempunyai budaya politik yang tersendiri.
Maka PRN kali ini Pas berpeluang menguji sejauh mana penerimaan rakyat Johor terhadap perjuangan dan pendekatan politik mereka.
Adakah Pas mampu menambah kerusi? Atau jika pencapaiannya tidak berubah apatah lagi menurun, pemerhati politik mungkin melihat bahawa proses peluasan sokongan Pas di negeri itu memerlukan masa jauh lebih panjang lagi.
Barometer politik penting
Pada pandangan saya, PRN Johor 2026 akan menjadi satu "barometer politik" yang penting. Ia bukan sekadar menentukan siapa yang membentuk Kerajaan Negeri, malah memberi gambaran awal tentang sejauh mana rakyat mengutamakan kestabilan politik dalam kerangka Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
Juga sejauh mana generasi muda mempengaruhi corak politik masa hadapan; dan sejauh mana parti-parti politik mampu mengembangkan sokongan mereka di negeri yang mempunyai landskap politik yang unik.
Walau apa pun keputusan nanti, satu hakikat tidak berubah iaitu dalam sistem demokrasi Malaysia, rakyatlah yang menentukan mandat melalui peti undi, manakala semua institusi negara berfungsi menurut bidang kuasa masing-masing seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Penulis merupakan penganalisis politik dan Pengerusi Biro Politik SEKPUR (Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia)
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, bukannya pendirian rasmi Suara Keadilan




Comments