PRN Johor: Kerajaan Negeri - Pusat perlu sehaluan elak ‘kebocoran’
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu bergerak sehaluan bagi memastikan pentadbiran lebih berkesan serta mengelakkan berlakunya “kebocoran” sebagaimana dititahkan Pemangku Sultan Johor, baru baru ini.
Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar) berkata, keselarasan antara kedua-dua peringkat kerajaan itu penting bagi memudahkan perancangan pembangunan negeri khususnya dan negara.
"Perbezaan pasukan sudah pasti akan melambatkan dan membuka ruang kebocoran yang dimaksud Tuanku Pemangku Sultan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, perbezaan pentadbiran antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan boleh melambatkan pelaksanaan dasar serta membuka ruang kepada isu kebocoran.
Sehubungan itu, Fakhrulrazi menyeru rakyat Johor yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri pada 11 Julai ini supaya membuat pilihan yang tepat agar memastikan kestabilan politik serta keselarasan pentadbiran.
"Saya menyeru pengundi memilih Pakatan Harapan bagi memastikan kerajaan yang stabil dan kuat dapat dibentuk demi kebaikan rakyat," ujarnya.
Beliau turut menegaskan kepentingan memilih pemimpin yang berintegriti dan berkhidmat kepada rakyat, bukan sekadar berpolitik.
"Kita bukan nak memilih pemimpin beretorik tetapi pemimpin yang bertanggungjawab dan berkerja untuk rakyat dan negara.
Hak mengundi manfaatkanlah sebaiknya."
Selain itu, beliau juga mengalu-alukan siasatan terhadap isu kebocoran seperti yang dititahkan Pemangku Sultan Johor, serta menegaskan tindakan tegas perlu diambil.
Beliau berkata, maklumat berkaitan perlu disalurkan kepada pihak berwajib bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.
Tambahnya, Kerajaan Persekutuan mempunyai pendirian tegas terhadap isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
"Saya amat yakin mereka yang mengkhianati amanah akan dikenakan tindakan sewajarnya dengan pendirian kerajaan pusat yang amat tegas kepada rasuah dan penyalahgunaan kuasa," katanya lagi.
Kelmarin, Pemangku Sultan Johor mendakwa Kerajaan Persekutuan telah tidak mengembalikan hasil yang dijana Johor secara adil.
Dakwaan itu dibuat baginda mengulas kenyataan Perdana Menteri mengatakan Johor negeri kaya tetapi banyak bocor.
Baginda bertitah Kerajaan Persekutuan yang 'bocorkan' Johor dalam Podcast "Bual Santai Petang Pemangku Sultan Johor Bersama Orang Muda Johor".




Comments