Calon SPM Selangor terima tajaan makanan percuma


Seramai 73,594 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Selangor menikmati makanan percuma sepanjang tempoh lima hari peperiksaan bagi mata pelajaran teras
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif di bawah Program Nutrisi Selangor (NutriSel) SPM 2026 itu bertujuan membekalkan makanan berkhasiat bagi menyokong keperluan tenaga, tumpuan serta kesejahteraan pelajar.
"Daripada jumlah itu sebanyak 71,152 calon di 256 sekolah membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Agama Menengah (SAM), Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT), Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), Sekolah Model Khas dan sekolah tahfiz persendirian.
"2,442 calon SPM pula di 20 sekolah atau institusi meliputi Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan institusi pendidikan khas," katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata begitu pada Majlis Simbolik Penyerahan Program NutriSel 2026 di MTIS Alam Impian, di Shah Alam pada Isnin.
Pada majlis itu beliau turut menyerahkan bakul makanan kepada 50 calon SPM di MITS Alam Impian selain bantuan berjumlah RM50,000 bagi membaik pulih surau dan fasiliti sukan sekolah tersebut.
Amirudin sementara itu menjelaskan, inisiatif dengan peruntukan RM3 juta itu selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan pelajar, khususnya dalam menghadapi peperiksaan.
"Kita menumpukan kepada usaha memberi sokongan padu dalam memastikan kecemerlangan pelajar dan membantu mereka mendapat makanan bernutrisi.
"Ini juga menyokong agenda kebajikan rakyat dan melahirkan modal insan yang berkualiti di Selangor pada masa depan," tambahnya.




Comments