Penafian Turkiye timbulkan persoalan kredibiliti Zahid


Percanggahan kenyataan berhubung cadangan penempatan 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia ke Turkiye menimbulkan persoalan mengenai kewibawaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang pemimpin.
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Hulu Langat, Mohamad Fathi Zikri Mohd Zain berkata penafian pihak berkuasa Turkiye bukan perkara kecil kerana boleh memberi kesan terhadap kredibiliti komunikasi rasmi kerajaan di peringkat antarabangsa.
Kenyataan Zahid turut dibimbangi memberi kesan kepada usaha Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memperkukuh hubungan dan kerjasama strategik Malaysia dengan Turkiye yang selama ini berasaskan kepercayaan serta persefahaman.
"Isu ini memerlukan penjelasan segera, khususnya mengenai asas dan status sebenar rundingan yang telah dijalankan.
"Zahid perlu menjelaskan atas kapasiti apakah pengumuman sebesar ini dibuat?. Tindakan memadam hantaran media sosial berhubung pengumuman itu tidak memadai untuk menjawab persoalan yang telah dibangkitkan,
"Adakah persetujuan rasmi kerajaan Turkiye benar-benar telah diperoleh dan adakah Kementerian Luar Negeri serta Wisma Putra terlibat dalam proses rundingan serta pengesahan?" katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan kedudukan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang sewajarnya tampil menjelaskan status komunikasi diplomatik Malaysia-Turkiye serta tindakan susulan selepas penafian tersebut.
Menerusi kenyataan tersebut, Mohamad Fathi menegaskan bahawa sebarang usaha menangani isu kemanusiaan pelarian Rohingya mesti dilaksanakan berlandaskan fakta tepat, prosedur diplomatik dan tanggungjawab institusi.
Sehubungan itu, beliau menggesa Zahid dan Mohamad Hasan supaya tampil memberikan penjelasan terbuka mengenai isu berkenaan kepada rakyat.




Comments