Siasat dakwaan pemimpin Umno terima tanah - AMK Johor



Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan pemberian tanah awam kepada seorang ahli politik Umno.
Timbalan Ketua AMK negeri, Jalex Lee berkata tanah berkenaan pada asalnya diwartakan sebagai tapak pasar untuk kegunaan penduduk Kampung Baru Pandan.
Ia kemudian didakwa diserahkan kepada pemilik individu yang juga merupakan anggota Pemuda Umno dan Ahli Majlis pada 4 Ogos 2026.
"Isu ini mula menjadi perhatian apabila Notis Pengosongan Tanah dikeluarkan terhadap KRT Pandan pada Oktober 2026.
"Tindakan ini menimbulkan persoalan serius berhubung kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh Kerajaan Negeri Johor pimpinan Barisan Nasional (BN).
"Ia khususnya apabila tanah awam yang sepatutnya dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat diberikan rakan politik," katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Satu laporan mengenai perkara itu telah dibuat pada Ahad bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Beliau sementara itu menegaskan, tanah awam seharusnya dipelihara dan dimanfaatkan demi kepentingan rakyat, bukannya dijadikan kepentingan individu atau kelompok tertentu.
Dakwaan pemberian tanah itu menurutnya seolah-olah mengimbau kembali era penyalahgunaan kuasa ketika BN memiliki majoriti politik yang besar.
"Saya berharap SPRM dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus agar segala fakta dan keadilan dapat ditegakkan," tambahnya.




Comments