top of page

RM5.7 juta disalurkan untuk baik pulih kemudahan Parlimen Bandar Tun Razak

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
18 minutes ago
1 min read
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Sebanyak RM5.7 juta telah disalurkan ke kawasan Parlimen Bandar Tun Razak untuk membaik pulih pelbagai kemudahan awam bagi tempoh 2025 hingga tahun ini.


Ahli Parlimen kawasan berkenaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, dana peruntukan khas Perdana Menteri itu digunakan antara lain untuk memperkasakan infrastruktur, aktiviti kokurikulum serta sahsiah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permaisuri dan SK Taman Midah 2.


Peruntukan turut digunakan untuk projek baik pulih masjid, surau dan dewan komuniti sekitar kawasan Parlimen itu.


"Cuma satu yang saya ingin pesan, bila dah dinaik taraf semua ini dan dah cantik, jagalah sebagai tanggungjawab kita bersama, bukan kerana kerja DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) sahaja... kita penduduk di sini yang guna, kita jaga sama-sama," katanya dipetik laporan media.


Dr Wan Azizah berkata begitu ketika merasmikan Program MADANI Kita 2026 Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak di Perumahan Awam Seri Kota.


Dianjurkan Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, ia turut dijayakan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak.


Program menyaksikan penyerahan 20 motosikal eKasih serta 300 Bakul RAHMAH mengandungi bahan makanan dan barangan keperluan asas.


Pelbagai inisiatif dan perkhidmatan terus kepada rakyat juga disediakan pada program bertemakan “Memaknai Harapan Rakyat” itu termasuk Jualan RAHMAH, Jualan Agro MADANI, menukar topi keledar lama, penukaran minyak enjin motosikal dan khidmat gunting rambut percuma.


"Tema kita 'Memaknai Harapan Rakyat’ maksudnya jelas... kerajaan turun padang agar dasar dan perancangan tidak hanya cantik atas kertas sahaja tetapi manfaatnya benar-benar sampai serta dirasai oleh rakyat sampai ke akar umbi," kata Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page