Politik dua muka: Umno perlu nyata pendirian - Mahfuz


Umno tidak seharusnya terus menikmati kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan sekiranya pada masa sama mengambil langkah yang menjejaskan rakan gabungannya dalam pilihan raya negeri.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bekerjasama serta melancarkan manifesto bersama Pas - PN, menimbulkan persoalan mengenai prinsip dan kesetiaan politik parti itu.
"Di Putrajaya, Umno duduk semeja dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan. Tetapi di Melaka, Umno memilih untuk berpakat dengan Pas dan PN bagi menghadapi PH.
"Di satu meja mengaku rakan, tetapi di gelanggang pilihanraya membantu pihak yang menentang rakan sendiri," katanya dalam satu kenyataan.
Mahfuz menggunakan perumpamaan ‘musang berbulu ayam’ bagi menyifatkan percanggahan yang didakwanya berlaku dalam pendirian politik Umno.
Beliau sementara itu turut menyifatkan senario tersebut membangkitkan persoalan serius yang perlu dijelaskan secara terbuka.
Rakyat tegasnya tidak harus dipaksa menerima percanggahan politik yang menguntungkan sesebuah parti tertentu sebagai sesuatu yang biasa .
"Jangan sampai rakyat melihat Umno sebagai parti yang mahu menikmati hasil sebuah kerjasama tetapi pada masa sama membantu melemahkan rakan yang menjayakannya.
"Kalau Umno benar-benar memilih Pas dan PN sebagai rakan politiknya, nyatakan dengan berani. Jangan berselindung di sebalik alasan politik negeri berbeza daripada politik pusat.
"Jika prinsip boleh berubah , bagaimana rakyat hendak mempercayai janji yang dibuat selepas pilihan raya?" katanya.
Menerusi kenyataan tersebut Mahfuz menegaskan, isu berkenaan bukan sekadar membabitkan perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, sebaliknya menyentuh soal kepercayaan rakyat terhadap makna perkongsian kuasa, janji politik dan tanggungjawab kepada negara.
"Umno sudah memilih gelanggang, sekarang berani atau tidak memilih pendirian?" soalnya lagi.




Comments