top of page

PM Anwar kecam keganasan Israel, pakatan ketenteraan negara Islam wajar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 20
  • 2 min read
ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Malaysia berdiri teguh sebagai sebuah negara Islam yang lantang mengecam keganasan dilakukan tentera Israel menyeru pembentukan dasar memutuskan hubungan oleh semua negara Islam terhadap rejim Zionis.


Pengerusi Bersama Muktamar Masjid Semalaysia untuk al-Aqsa dan Palestin (MM4AP), Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang berkata, pemulauan sepenuhnya Israel itu wajar dilakukan dan ditambah dengan membentuk pakatan ketenteraan sesama negara Islam agar mereka boleh bertindak balas sekiranya diserang oleh negara Yahudi tersebut selepas ini.


"Malaysia negara Islam yang lantang mengecam tindakan ganas Zionis Israel. Inilah masanya negara-negara Islam bergerak daripada sekadar retorik kepada tindakan yang konkrit.


"Satu pakatan ketenteraan negara-negara Islam yang merangkumi negara Arab dan bukan Arab seperti Turki, Iran, Pakistan dan negara-negara anggota OIC untuk memperkukuh keupayaan mempertahankan hak dan keselamatan umat Islam adalah wajar," kata Ahnad Awang kepada Suara Keadilan.


Beliau mengulas Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru baru ini.


Dalam sidang itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Kenyataan Negara menegaskan pendirian Malaysia bahawa keamanan serantau dan dunia akan terus terancam sekiranya Israel dibiarkan terus mencabuli undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kedaulatan negara lain.


Sidang tergempar tersebut merupakan respons kepada serangan udara Israel ke atas Doha, ibu negara Qatar yang meragut nyawa lima anggota Hamas serta seorang pegawai keselamatan Qatar ketika mereka sedang membincangkan cadangan baharu daripada Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan peperangan di Gaza.


Dalam pada itu, Ahmad Awang juga merakamkan beberapa perkembangan antarabangsa yang menurutnya relevan, berdasarkan kenyataan beberapa negara Eropah yang dilaporkan mula mengambil tindakan tegas dan amaran yang memberi impak ekonomi atau ketenteraan terhadap Israel.


"Contohnya amaran pembatalan perjanjian pembelian peralatan ketenteraan oleh sesetengah negara, manakala kuasa besar lain dilihat mengurangkan sokongan ketenteraan, kata Ahmad merujuk kenyataan tegas negara-negara Eropah ke atas Israel.


Justeru itu kata beliau, momentum diplomatik telah wujud dan harus dimanfaatkan oleh negara-negara Islam.


"Pembentukan pakatan ketenteraan tidak seharusnya terhad kepada negara-negara Arab sahaja, tetapi mesti merangkumi semua negara Islam berkekuatan ketenteraan termasuk negara di Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia serta negara-negara berpengaruh di Timur Tengah menghasilkan kuasa ketiga yang mampu memberi kesan diplomatik dan strategik," ujarnya lanjut.


Dalam pada itu beliau juga menyarakan agar tekanan diplomatik dan sekatan perdagangan lebih keras ke atas Israel perlu diambil oleh jiran jiran Arab untuk memastikan keselamatan rakyat Palestin dan menghentikan genosid di Gaza.


"Institusi-institusi antarabangsa dan pertubuhan negara Islam perlu memanfaatkan momentum ini untuk menuntut penyelesaian yang adil, dan tindakan kolektif lebih berkesan daripada kenyataan bersendirian.


"Negara-negara Islam mesti berani bertindak dan bukan hanya sekadar berucap. Ini peluang untuk kita tunjukkan solidariti yang sebenar, bukan sekadar kata-kata demi keselamatan dan maruah Palestin," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page