PH tumpu rapatkan jurang ekonomi antara daerah di Johor - Amirudin
- Sidiqin Omar

- 1 hour ago
- 2 min read

Naib Presiden KEADILAN Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa prinsip keadilan pembangunan menjadi teras utama Pakatan Harapan (PH) dalam memastikan pembangunan Johor dilaksanakan secara lebih seimbang, selain mengurangkan jurang ketara antara daerah dan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar utama.
Beliau berkata wujud ketidakseimbangan pembangunan antara daerah di Johor, termasuk perbezaan pendapatan isi rumah yang ketara antara Johor Bahru dan daerah lain, sekali gus menunjukkan keperluan kepada dasar pembangunan yang lebih inklusif bagi memastikan semua kawasan menikmati kemajuan secara adil.
"Kalau kita bandingkan, terdapat perbezaan pendapatan antara daerah di Johor. Ada kawasan mencatat peningkatan, tetapi masih ada daerah yang ketinggalan dari segi pembangunan," katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) PRN Johor Ke-16 di Padang Gambir, Tangkak malam tadi.
Menteri Besar Selangor itu berkata, pendekatan PH adalah untuk memastikan pembangunan tidak hanya tertumpu di Johor Bahru atau JB centric semata-mata, sebaliknya meliputi semua daerah termasuk Tangkak, Mersing, Segamat dan kawasan lain agar tiada tempat yang tercicir daripada arus kemajuan.
Amirudin berkata di negeri-negeri yang ditadbir PH, pembangunan lebih menyeluruh dapat dilihat melalui peningkatan pendapatan isi rumah secara keseluruhan serta pengurangan kadar kemiskinan yang lebih berkesan.
"Kita bukan hanya melihat kepada angka pendapatan tinggi, tetapi juga bagaimana kita berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh," katanya.
Beliau menegaskan bahawa Selangor mencatat kadar kemiskinan di bawah satu peratus, jauh lebih rendah berbanding paras nasional, hasil pelaksanaan dasar yang memberi fokus kepada keseimbangan pembangunan dan kebajikan rakyat.
Amirudin turut menjelaskan bahawa data seperti pendapatan isi rumah dan kadar kemiskinan digunakan sebagai asas utama dalam merangka dasar pembangunan, bukan sekadar retorik politik.
Amirudin turut membuat perbandingan dengan beberapa negeri ditadbir PH seperti Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang menunjukkan peningkatan pendapatan isi rumah secara keseluruhan serta kejayaan menurunkan kadar kemiskinan, khususnya di Selangor yang mencatat kadar kemiskinan di bawah satu peratus.
Katanya, data ekonomi dan statistik kemiskinan menjadi asas utama hujah PH dalam membuktikan keberkesanan pendekatan pentadbiran mereka, selain menegaskan komitmen untuk mengurangkan jurang pendapatan serta kemiskinan di Johor melalui dasar berasaskan fakta.
"Kita datang dengan fakta. Memang ada kemajuan di sesetengah tempat tetapi kemajuan itu belum menyeluruh ke semua daerah," katanya.
Beliau berkata PH komited memastikan Johor dibangunkan secara lebih adil melalui dasar yang memberi tumpuan kepada pengurangan jurang pendapatan, peningkatan peluang pekerjaan serta kesejahteraan rakyat di semua peringkat.
Katanya lagi, manifesto PH yang sedang disiapkan akan membawa agenda “Johor ke hadapan” (Johor Forward) dengan fokus meningkatkan taraf hidup rakyat, gaji lebih baik dan pembangunan yang lebih seimbang di seluruh negeri.




Comments