PH tawar pembangunan seimbang, wujudkan banyak pekerjaan bergaji tinggi
- Redzuan Shamsudin

- 14 hours ago
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) berhasrat membangunkan Johor secara menyeluruh dan seimbang bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh seluruh rakyat, bukan hanya tertumpu di kawasan Johor Bahru (JB centric) sebagaimana dilakukan pentadbiran BN selama ini.
Menurut Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari, visi "Cita Sempurna Johor" PH adalah untuk membentuk sebuah negeri yang mampu berdiri kukuh sebagai pemacu pembangunan negara serta membawa harapan baharu kepada rakyat.
"Cita Sempurna Johor ialah sebuah negeri yang mampu berdiri kukuh dan membawa harapan baharu kepada Malaysia dan rakyat," katanya dalam Majlis Peluncuran Manifesto HARAPAN Johor Untuk Semua, hari ini.
Beliau yang melancarkan manifesto PH turut merujuk kepada data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang didakwa diputar belit oleh sesetengah pihak apabila hanya membandingkan kadar pertumbuhan ekonomi negeri Johor dan yang lainnya.
"Semalam bentang data DOSM, dua hari lepas ada pihak spin KDNK Johor paling tinggi naik 28 peratus, Selangor 6.3 peratus. Tetapi tak tengok angka besar.
"Pulau Pinang dan Selangor jika dicampur kedua-duanya menyumbang 40 peratus ekonomi nasional. Ini adalah negeri diketuai PH," katanya.
Menurut Amirudin, nilai ekonomi Johor meningkat kira-kira RM18 bilion, namun peningkatan nilai ekonomi Selangor adalah lebih tinggi.
"Nilai ekonomi Johor naik kira-kira RM18 bilion. Negeri Selangor naik RM32 bilion, dan angka DOSM menunjukkan nilai ekonomi Selangor RM460 bilion," katanya.
Menteri Besar Selangor itu berkata, pembangunan Johor perlu dirancang secara menyeluruh dengan memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri itu.
Oleh itu, katanya, beberapa projek utama yang sedang dilaksanakan dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Projek Rapid Transit System (RTS) dan Maharani Port, akan memperkukuh ekonomi negeri.
"Kita sedar Johor-Singapura Economic Zone, projek RTS dan Maharani Port itu semua suntikan Kerajaan Persekutuan yang diberikan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkasakan ekonomi Johor," ujarnya.
Beliau turut berpandangan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mampu menjadikan Johor sebagai destinasi pelaburan yang menawarkan lebih banyak pekerjaan berkualiti kepada rakyat tempatan.
"Kalau Johor ada perancangan sendiri dan digabungkan dengan kekuatan kerajaan PH di Persekutuan, saya yakin Johor menjadi tempat menghasilkan peluang pekerjaan baik, bernilai tinggi dan rakyat tempatan tidak perlu beratus ribu setiap hari beratur menyeberangi Tambak Johor," katanya.
Menurut Amirudin lagi, pembangunan ekonomi Johor juga perlu diagihkan secara saksama ke seluruh negeri.
"Kemajuan pembangunan ekonomi Johor tidak boleh tertumpu di sebahagian tempat. Menteri Besar kita nanti adalah Menteri Besar untuk semua, Menteri Besar di semua tempat," katanya.




Comments