PH Pulau Pinang semak semula kerjasama dengan Umno


Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berhasrat membincangkan kedudukan Umno dalam Kerajaan Negeri susulan kenyataan beberapa perwakilan Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini yang disifatkan sebagai serangan terhadap PH dan Kerajaan Negeri.
Timbalan Pengerusi PH Pulau Pinang, Faiz Fadzil (gambar) berkata isu tersebut menjadi antara agenda utama mesyuarat PH negeri yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.
"Berlaku beberapa kenyataan tidak sepatutnya di PAU daripada perwakilan Umno. Kita sendiri tak pernah serang Umno dalam mana-mana program di peringkat negeri.
"PH Pulau Pinang sebelum ini telah membuat keputusan untuk mengekalkan Umno dalam pentadbiran negeri. Perkembangan terbaharu menyebabkan pendirian itu perlu dibincangkan semula," tegasnya.
Menurut laporan media, ketegangan berpunca dari ucapan Ketua Umno Permatang Pauh, Zaidi Said pada PAU yang berlangsung 12 September lalu.
Zaidi didakwa mengeluarkan beberapa kenyataan, termasuk melabelkan DAP—salah sebuah parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH)—sebagai 'musuh utama' Umno.
"Di Perak dan Pahang kita jaga hubungan baik. Kenapa Umno bermain begini apabila perwakilan mereka menghentam PH dan kerajaan Pulau Pinang.
"Kalau Exco Umno mahu kekal dalam kerajaan, mereka mesti jujur," tambah Faiz Fadzil.




Comments