top of page

PH pertahan hak Melayu, syiar Islam, Bangsa Johor tidak perlu bimbang

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • Jul 2
  • 2 min read

Updated: Jul 4

DS Amirudin berceramah di tapak Medan Selera DUN Senggarang, malam tadi
DS Amirudin berceramah di tapak Medan Selera DUN Senggarang, malam tadi

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan terus membuktikan komitmennya dalam mempertahankan hak orang Melayu dan memperkukuhkan syiar Islam menerusi pelbagai dasar serta inisiatif yang dilaksanakan, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.


Beliau yang juga anak Johor menegaskan bahawa rakyat negeri itu tidak perlu terpengaruh kononnya kedudukan orang Melayu dan Islam akan terancam di bawah pentadbiran PH kerana Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera sebagai asas negara yang terus dipertahankan oleh kerajaan.


"Perkara-perkara ini adalah tonggak negara dan tidak boleh dipersoalkan. Pakatan Harapan mempertahankannya sebelum membentuk kerajaan, ketika mentadbir negeri-negeri, dan kini di peringkat Persekutuan menerusi Kerajaan Perpaduan," katanya pada ceramah "Johor Ke Depan Undi Harapan" di tapak Medan Selera Senggarang di sini, malam tadi.


Amirudin berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil langkah-langkah nyata bagi memperkukuhkan kedudukan orang Melayu antaranya melalui usaha kerajaan mewartakan kawasan tanah rizab Melayu di tengah bandar raya Kuala Lumpur bagi menjamin pemilikan tanah, pembangunan serta kedudukan ekonomi masyarakat Melayu di kawasan strategik bandar.


"Sejarah mencatatkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mewartakan kawasan tanah yang luas di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur sebagai tanah rizab Melayu.


"Langkah itu dibuat bagi menjamin hak pemilikan tanah, pembangunan dan masa depan masyarakat Melayu di kawasan strategik bandar, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini," katanya yang juga Pengarah Bersama Pilihanraya KEADILAN.


Selain itu, Amirudin berkata kerajaan turut memperluaskan syiar Islam melalui pelbagai program ilmu yang diadakan secara berkala di Seri Perdana dengan menghimpunkan tokoh ilmuan Islam dari dalam dan luar negara, guru-guru pondok serta asatizah untuk membincangkan pembangunan negara berteraskan nilai-nilai Islam.


"Ini membuktikan bahawa pembangunan negara bukan sahaja memberi perhatian kepada aspek ekonomi, malah pengukuhan nilai agama turut menjadi keutamaan kerajaan," katanya.


Sehubungan itu, beliau menyeru Bangsa Johor supaya menilai rekod pencapaian kerajaan berdasarkan tindakan dan dasar yang dilaksanakan, bukannya retorik politik yang memainkan sentimen kaum dan agama.


Amirudin berkata sekiranya PH diberi mandat mentadbir Johor, Kerajaan Negeri akan meneruskan pendekatan sama dengan memastikan pembangunan yang seimbang, memperkukuh kedudukan orang Melayu, memelihara syiar Islam serta membangunkan ekonomi yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum.


"Rakyat Johor tidak perlu bimbang. Hak orang Melayu dan Islam akan terus dipelihara manakala pembangunan negeri akan dilaksanakan secara inklusif demi kesejahteraan semua," katanya.


Amirudin berkata pendekatan yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan itu juga boleh diterjemahkan di Johor sekiranya Pakatan Harapan diberi mandat mentadbir negeri berkenaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).


"Sebab itu saya percaya, kalau kita tampil di Johor, kita juga akan buat seperti mana Perdana Menteri lakukan.


"Kita mahu melindungi kepentingan orang Melayu melalui tindakan sebenar, bukan sekadar menjerit slogan Melayu atau menakut-nakutkan orang Melayu sehingga hilang keyakinan terhadap masa depan mereka," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page