top of page

Petrol: Kerajaan Madani sanggup tanggung beban subsidi RM45 bilion - PM

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
60 minutes ago
1 min read

Kerajaan MADANI komited mempertahankan kebajikan rakyat dengan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter menerusi inisiatif BUDI95, meskipun berdepan peningkatan kos subsidi minyak yang diunjurkan mencecah sehingga RM45 bilion setahun.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu mencerminkan pendirian kerajaan bahawa beban kenaikan kos tenaga lebih wajar ditanggung kerajaan daripada membiarkan rakyat, khususnya golongan keluarga dan ibu bapa, terus terbeban.


Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Sentuhan Kasih MADANI dan meluncurkan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) di Melaka, semalam.


Menurut Anwar, kenaikan harga minyak dunia yang mencecah sekitar US$130 setong memberi tekanan kepada banyak negara, namun kerajaan akan terus berusaha melindungi rakyat daripada kesan langsung kenaikan kos tersebut.


Katanya, bahan api merupakan keperluan penting dalam kehidupan seharian, termasuk untuk mencari rezeki, menghantar anak ke sekolah dan mendapatkan rawatan kesihatan. Oleh itu, sebarang kenaikan harga minyak boleh menambah beban kewangan keluarga.


"Pendirian Kerajaan MADANI jelas: lebih baik kerajaan yang menanggung beban daripada membiarkan rakyat dan ibu bapa kita yang menanggung derita," katanya.


Dalam pada itu, Anwar berkata peluncuran NCLAP30 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan menangani tekanan kos sara hidup dan memastikan kemakmuran negara dapat diterjemahkan kepada kehidupan rakyat yang lebih sejahtera.


Beliau turut menegaskan komitmen memperluas pelaksanaan Jualan Rahmah dengan melibatkan lebih ramai petani, nelayan dan pekebun bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.


Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang terus turun padang mendekati serta membantu masyarakat.


Beliau menegaskan kerajaan akan terus melaksanakan dasar dan tindakan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, khususnya dalam membantu keluarga mengurus keperluan harian dan memastikan anak-anak dapat meneruskan persekolahan dengan lebih tenang.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page