Perkukuh jentera, tumpu pengundi wanita, terangkan isu Tabung Haji
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Jentera parti perlu diperkukuh dan gerak kerja pilihanraya, khususnya kepada pengundi wanita harus dilakukan mulai sekarang sama ada untuk menghadapi pilihan raya umum ke 16 atau Pilihan Raya Negeri Melaka pada hujung tahun ini.
Menurut Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek (gambar), Melaka merupakan negeri penting kepada KEADILAN dan seluruh kekuatan parti perlu digerakkan bagi memastikan persiapan pilihanraya dibuat secara optimum.
"Negeri Melaka sangat penting untuk kita. Kita harus melakukan gerak kerja yang sama, turunkan semua hulubalang terbaik," katanya dalam ucapan Dasar Ketua Wanita KEADILAN dalam Kongres Wanita KEADILAN 2026 di MITC, Air Keroh, Melaka pagi tadi.
Menurut Fadhlina, persiapan perlu dibuat lebih awal bagi menghadapi pilihanraya di negeri-negeri lain termasuk Sarawak pada tahun depan.
Beliau berkata kekalahan dalam pilihan raya negeri yang lalu sememangnya menimbulkan kesedihan dan kemarahan, namun keadaan itu perlu dijadikan dorongan untuk memperkukuh organisasi serta jentera parti.
"Kita sedih bila kalah, marah, sebab itu seruan saya perkukuhkan organisasi, perkukuhkan jentera pilihanraya kita dan dekati jiwa-jiwa wanita satu Malaysia," katanya.
Fadhlina turut menyeru anggota Wanita KEADILAN supaya kembali mengukuhkan peranan di peringkat akar umbi sebaik sahaja Kongres berakhir.
"Mulai hari Isnin, balik dari kongres kita kena kembalikan peranan kita di akar umbi, kembalikan peranan kita sebagai jurucakap wanita dan tumpukan kepada pengundi wanita," katanya.
Menurut beliau, pendekatan kepada wanita perlu bermula daripada isu kehidupan seharian yang dekat dengan keluarga dan masyarakat.
"Dapur wanita adalah tempat paling penting melakukan kerja-kerja politik. Mulakan dengan dapur wanita. Tanya beras ada, gula, garam cukup atau tidak. Anak makan sehari berapa kali."
Beliau berkata pendekatan tersebut penting bagi membina kepercayaan dan memahami realiti kehidupan wanita sebelum diterjemahkan kepada gerak kerja politik yang lebih berkesan.
Dalam menghadapi pilihanraya, Fadhlina turut menegaskan KEADILAN perlu memberi ruang kepada calon wanita untuk bertanding di kawasan yang sesuai.
Beliau turut menyeru seluruh anggota Wanita KEADILAN supaya menampilkan kekuatan masing-masing dan memastikan pasukan yang dibentuk merupakan pasukan terbaik.
"Saudari-saudari kena tonjolkan, bersama kita membina kekuatan ini. Kita mesti masuk dengan pasukan yang terbaik," katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji perlu diangkat sebagai sebahagian daripada gerakan kesedaran rakyat.
"Ini aktivisme kita, ini benda kita biasa buat. Jangan simpan, inilah dia benda yang mesti terus dilakukan," katanya.
Beliau berkata isu tadbir urus Tabung Haji turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk rakan-rakan bukan Islam yang memahami kepentingan isu berkenaan dari sudut tatakelola.
Fadhlina menegaskan isu Tabung Haji merupakan perkara mendesak yang perlu diterangkan kepada rakyat supaya mereka memahami perkembangan yang berlaku serta usaha kerajaan dalam menangani perkara tersebut.
"Isu Tabung Haji adalah sangat mendesak, rakyat mesti tahu apa yang sedang berlaku dan rakyat mesti tahu apa yang PM sedang selamatkan," katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan penerangan secara bersemuka dalam memastikan mesej berkaitan isu berkenaan sampai kepada masyarakat.
"Penerangan, komunikasi kita kena sebut hal ini. Gerak kerja kita, dapur, bisik, pegang tangan, gosok bahu dan beritahu ini adalah isu yang sangat durjana,
"Kecurangan sedang berlaku, duit umat Islam dipertaruhkan. Ada yang mengambilnya tanpa fikir soal hukum hakam, dan bagaimana kita harus kembali menjadi suara itu dengan memberi maklumat kepada rakyat bahawa ini adalah sesuatu yang sangat besar sedang berlaku dalam negara," katanya.
Fadhlina pada masa sama menegaskan KEADILAN tidak boleh hanya bergantung kepada kementerian dalam menangani isu-isu rakyat kerana parti itu kini merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.




Comments