Perjuangan PH untuk rakyat, bukan untuk elit - Dr Maszlee
- Noraini Nordin
- 10 hours ago
- 2 min read

Sorotan khas PRN Johor: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk menentukan siapa yang layak memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar Johor sekiranya gabungan itu diberi mandat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Mengulas spekulasi yang mengaitkan namanya dalam laporan media sebagai antara calon berpotensi untuk jawatan tersebut, mantan Menteri Pendidikan itu memilih untuk tidak memberikan sebarang andaian.
"Wallahua'lam bissawab. Perkara itu kita serahkan kepada parti dan Pakatan Harapan untuk menentukan segala-galanya," kata beliau dalam temubual khas bersama Noraini Nordin di Muar, Johor.
Menurut beliau, fokus utamanya ketika ini adalah menyumbang pengalaman dan tenaga demi kemajuan negeri Johor yang merupakan tanah tumpah kelahirannya.
"Bagi saya, saya hanya ingin memberikan yang terbaik untuk negeri Johor. Kita mahu memastikan segala pembangunan dan kemajuan yang sedang dibawa di peringkat Persekutuan turut dapat dinikmati oleh rakyat Johor," katanya.
Perlu seiring dengan kemajuan negara
Dr Maszlee berkata, hubungan yang selari antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat disalurkan secara lebih berkesan kepada rakyat.

Beliau menegaskan Johor mempunyai potensi besar untuk menjadi antara negeri termaju di Malaysia sekiranya segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan baik dan tersusun.
"Apa juga yang berlaku di negeri Johor perlu bergerak seiring dengan perkembangan yang dibawa di peringkat pusat supaya Malaysia dapat menjadi sebuah negara maju dalam semua lapangan dan semua negeri turut menikmati kemajuan tersebut," jelasnya.
Jentera PH tulang belakang perjuangan
Dalam pada itu, Dr. Maszlee turut menyampaikan penghargaan dan kata-kata semangat kepada seluruh jentera PH yang telah memulakan gerak kerja kempen di seluruh Johor.
Beliau menyifatkan anggota parti dan petugas pilihan raya sebagai tulang belakang perjuangan yang membawa aspirasi rakyat serta menjadi penghubung antara kepimpinan dan masyarakat.
"Anda merupakan harapan rakyat negeri Johor. Anda juga harapan negara untuk memastikan kemajuan Malaysia dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Johor," katanya.
Menurut beliau, gabungan PH yang terdiri daripada KEADILAN, DAP dan AMANAH mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia dan Johor, sekali gus membawa suara pelbagai lapisan rakyat.
Perjuangan jaga kepentingan rakyat
Dr Maszlee menegaskan bahawa perjuangan PH bukan untuk kelompok tertentu, sebaliknya berteraskan kepentingan rakyat secara keseluruhan.
Menurut mantan profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu, PH akan terus memperjuangkan kebajikan rakyat daripada golongan bawahan sehingga ke peringkat tertinggi masyarakat tanpa mengira latar belakang.
"Kita mewakili rakyat, membawa aspirasi rakyat dan memperjuangkan nasib rakyat. Kita bukan memperjuangkan kelompok elit atau golongan maha kaya semata-mata, tetapi membawa denyut nadi masyarakat secara keseluruhan," katanya.
Beliau turut menyeru seluruh jentera dan penyokong PH agar terus bekerja keras sehingga hari pengundian bagi memastikan kemenangan yang bakal dicapai benar-benar menjadi kemenangan untuk rakyat.
"Teruskan perjuangan dan pastikan kemenangan itu menjadi milik rakyat, milik harapan," katanya lagi.
Pilihan Raya Negeri Johor dijadualkan berlangsung pada 11 Julai 2026, dengan DUN Puteri Wangsa antara kerusi yang dijangka menjadi tumpuan utama dalam persaingan kali ini.
