top of page

Penyelarasan subsidi bahan api: Dakwaan “bom jangka inflasi” mengelirukan

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Dakwaan penyelarasan diesel oleh Kerajaan sebagai “bom jangka inflasi” disifatkan retorik mengarut yang tidak berasas dan berpotensi mengelirukan rakyat.


Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, kenyataan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman itu tidak menggambarkan keadaan sebenar dasar yang dilaksanakan kerajaan melalui inisiatif subsidi diesel bersasar.


"Kenyataan yang melabelkan langkah penyelarasan diesel sebagai ‘bom jangka inflasi’ adalah satu gambaran yang tidak tepat dan mengelirukan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Mahfuz, kerajaan mengambil pendekatan bersasar dan berhati-hati bagi memastikan kesan terhadap rakyat diminimumkan dalam situasi krisis tenaga global berikutan perang Iran - Amerika Syarikat dan Israel.


"Langkah ini tidak dilaksanakan secara menyeluruh tanpa kawalan, sebaliknya disertakan dengan mekanisme perlindungan bagi memastikan bekalan mencukupi dan ketirisan dapat dibendung," katanya.


Beliau menegaskan bahawa dakwaan kononnya kerajaan tidak jelas dalam langkah mitigasi juga tidak berasas, memandangkan beberapa langkah konkrit telah dilaksanakan.


"Harga RON95 kekal pada RM1.99 seliter, hampir 90 peratus rakyat tidak terjejas, golongan pekerja seperti e-hailing terus dilindungi, dan kawalan diesel dilaksanakan untuk mengekang penyeludupan. Ini adalah langkah mitigasi yang nyata, bukan teori," katanya.


Dalam pada itu, Mahfuz turut mempersoalkan kecenderungan pembangkang yang dilihat hanya mengulang naratif populis tanpa mengemukakan cadangan penyelesaian yang realistik.


"Adakah mereka mencadangkan subsidi tanpa had? Jika ya, dari mana sumbernya? Adakah mereka bersedia menambah hutang negara atau memotong perbelanjaan penting?" katanya.


Menurut beliau, penggunaan istilah seperti “bom jangka” mungkin menarik perhatian, namun tanpa pelan konkrit ia tidak membantu rakyat memahami situasi sebenar.


"Kerajaan tidak menafikan wujud tekanan global, namun pendekatan yang diambil adalah untuk mengurus risiko tersebut secara terkawal, bukan menakut-nakutkan rakyat," katanya.


Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa negara memerlukan kepimpinan yang bertanggungjawab dalam menghadapi ketidaktentuan global, bukannya naratif yang boleh mengelirukan masyarakat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page