top of page

Malaysia wajar nilai semula sekatan terhadap Iran — Pemuda AMANAH

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 minute ago
  • 2 min read

Malaysia disaran menilai semula serta menghapuskan sekatan terhadap Iran bagi memastikan kepentingan strategik negara terus terpelihara dalam landskap geopolitik yang semakin mencabar.


Ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah Nasional, Hadi Kanis (gambar) berkata, langkah berani itu perlu dipertimbangkan susulan peranan Iran dalam membantu memudahkan perlepasan kapal minyak Malaysia di Selat Hormuz.


"Malaysia harus mengambil langkah berani dengan menilai semula serta menghapuskan sebarang bentuk sekatan terhadap Iran, sejajar dengan perkembangan geopolitik semasa dan kepentingan negara yang semakin mendesak," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurut beliau, tindakan Iran membenarkan kapal kapal negara sahabat melepasi Selat Hormuz telah menjamin kelancaran laluan tenaga global dan membuktikan negara itu sebagai rakan strategik yang penting.


"Tindakan Iran yang telah membantu memudahkan perlepasan kapal minyak Malaysia di Selat Hormuz membuktikan bahawa negara tersebut memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan laluan tenaga global," katanya.


Beliau berkata, Malaysia sebelum ini mematuhi sekatan berasaskan kerangka United Nations sejak 2006, namun situasi semasa menunjukkan realiti baharu dalam percaturan geopolitik dunia.


Tambahnya, Malaysia perlu mengamalkan dasar luar yang lebih bebas dan berkecuali tanpa tunduk kepada tekanan kuasa besar dalam menentukan rakan strategik.


"Malaysia berhak untuk menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan mana-mana negara yang berkongsi kepentingan bersama, berasaskan prinsip saling menguntungkan," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Iran perlu diperkukuhkan, termasuk dalam sektor perdagangan, tenaga, teknologi dan pertahanan.


Menurutnya, ketahanan Iran yang mampu membangunkan keupayaan sendiri walaupun berdepan sekatan antarabangsa wajar dijadikan teladan.


"Iran juga telah membuktikan keupayaannya sebagai sebuah negara yang berdikari walaupun berdepan sekatan antarabangsa selama lebih empat dekad. Iran berjaya membangunkan keupayaan teknologi dan ketenteraan sendiri. Malaysia wajar mengambil teladan daripada ketahanan ini dalam usaha memperkukuh keupayaan domestik dan mengurangkan kebergantungan," katanya.


Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Malaysia mempertimbangkan pembukaan semula saluran kewangan termasuk kemudahan perbankan kepada entiti Iran bagi memudahkan urusan perdagangan dua hala.


"Langkah ini penting bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang yang strategik dan bebas," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page