top of page

KEADILAN Wilayah Persekutuan arah dua wakil MPPWP berundur serta merta

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 1 min read

Biro Politik KEADILAN Wilayah Persekutuan mengarahkan dua individu daripada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) di Wangsa Maju supaya melepaskan jawatan mereka serta-merta susulan dakwaan terlibat dalam kes meminta “wang perlindungan”.


Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin (gambar) berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan mendalam berhubung video tular yang mengaitkan R Vijeyndran dan G Paarthiydasan.


"Biro Politik mengarahkan supaya Cabang KEADILAN Wangsa Maju segera memaklumkan kepada R Vijeyndran dan G Paarthiydasan agar mereka melepaskan jawatan sebagai ahli MPPWP dengan serta-merta," katanya dalam satu kenyataan media.


Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memberi laluan sepenuhnya kepada siasatan polis dan siasatan dalaman parti tanpa sebarang gangguan.


"Langkah ini adalah untuk memberi laluan sepenuhnya kepada proses siasatan polis dan siasatan dalaman parti tanpa sebarang gangguan," katanya.


Dalam pada itu, beliau menegaskan parti tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku anggotanya dalam mana mana jawatan atau posisi.


"Parti tidak akan bertolak ansur dan tidak akan melindungi mana-mana ahli atau wakil yang terlibat dalam amalan pemerasan, wang perlindungan atau salah guna kuasa. Keadilan mesti bermula dari dalam parti sendiri," katanya.


Beliau turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Disiplin KEADILAN Wilayah Persekutuan telah diarahkan menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh dan melaporkan dapatan dalam masa terdekat.


Selain itu, Biro Politik turut menyarankan agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur meningkatkan pemantauan terhadap aktiviti pusat urut di kawasan Wangsa Maju bagi memastikan pematuhan undang-undang dan syarat lesen.


"Ini bagi memastikan tiada sebarang aktiviti yang melanggar peraturan, undang-undang atau lesen premis berlaku di masa hadapan," katanya.


Azman menegaskan bahawa kedudukan sebagai wakil penduduk adalah satu amanah yang perlu dipikul dengan penuh integriti.


"Sebarang penyelewengan akan ditangani dengan tegas tanpa kompromi," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page