top of page

Pengorbanan aktivis GSF 2.0 demi Gaza disanjung - Amirudin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 10 hours ago
  • 1 min read

Malaysia merupakan satu-satunya negara memberikan pengiktirafan rasmi di peringkat kerajaan terhadap misi Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF2.0) berbanding negara lain yang hanya menyalurkan sokongan secara individu, kewangan atau moral.


Menteri Besar Selangor yang juga Menteri Penaung GSF2.0 Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, Kerajaan MADANI akan terus menyokong misi tersebut meskipun berdepan cabaran antaranya penahanan peserta misi termasuk rakyat Malaysia oleh rejim Israel pada 1 Mei lepas.


"Sokongan konsisten Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan komitmen negara dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa.


"Kita hargai pengorbanan aktivis, termasuk dari Malaysia yang bersedia mengorbankan masa, wang dan juga keselesaan mereka. Mereka mendedahkan diri kepada risiko semata-mata untuk "Break the Silence" dan "Break the Siege", dua misi yang dilakukan secara konsisten.


"Saya rasa Malaysia kena bangga dengan penyertaan aktivis-aktivis ini kerana mereka datang dengan sukarela," katanya dipetik pada sidang media selepas melawat pusat operasi Sumud Nusantara Command Center (SNCC), di Bangi pada Isnin.


Mengulas mengenai misi penghantaran bantuan darat ke Gaza melalui Rafah, dengan 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan, Amirudin memaklumkan konvoi kini bergerak lancar.


Proses penghantaran bantuan jelasnya memerlukan pematuhan kepada beberapa protokol di negara terlibat, khususnya dalam usaha melepasi sempadan.


"Pengalaman terdahulu menunjukkan sebanyak 100 kontena bantuan telah dihantar sebelum ini, termasuk 40,000 tin makanan yang disediakan menjelang Ramadan dan Aidilfitri berjaya sampai ke rakyat Palestin.


"Perkembangan misi termasuk di Rafah akan dikemaskini selepas semua urusan berkaitan penghantaran selesai dilaksanakan," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page