Penambahan 17 kerusi baharu DUN Sarawak demi perwakilan lebih adil - Abun
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 2 min read

Cadangan penambahan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merupakan hak yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan langkah penting bagi memastikan rakyat Sarawak menerima representasi yang lebih adil serta berkesan.
Senator Abun Sui Anyit berkata demikian susulan kebimbangan yang disuarakan beberapa pemimpin Kerajaan Sarawak mengenai kelewatan pelaksanaan penambahan kerusi yang telah diluluskan oleh DUN Sarawak pada Julai tahun lalu.
"Saya mengambil maklum kenyataan dan kebimbangan beberapa pemimpin Kerajaan Sarawak berhubung kelewatan proses pelaksanaan penambahan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Julai 2025," kata Abun dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, penambahan kerusi bukan sekadar isu politik, sebaliknya keperluan bagi memastikan kawasan pedalaman yang luas mendapat perhatian sewajarnya.

"Sebagai Ahli Dewan Negara Malaysia dan anak jati Sarawak, saya berpandangan bahawa penambahan kerusi DUN Sarawak bukanlah isu politik semata-mata, tetapi merupakan keperluan mendesak bagi memastikan representasi yang lebih adil dan berkesan kepada rakyat Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman yang luas seperti Belaga, Kapit, Baram dan Hulu Rajang," katanya.
Menurut Abun, keluasan geografi Sarawak yang hampir menyamai Semenanjung Malaysia memerlukan pertambahan wakil rakyat supaya penyampaian perkhidmatan dan pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Katanya, amat wajar jumlah wakil rakyat negeri ditambah agar setiap kawasan mendapat perhatian, pembangunan dan perkhidmatan yang lebih efektif.
"Bagaimanapun rakyat perlu memahami bahawa proses mewujudkan kerusi baharu bermula dengan tindakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui proses persempadanan semula mengikut Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan. Hasil persempadanan ini kemudiannya perlu dibentangkan dan diluluskan terlebih dahulu di Dewan Undangan Negeri Sarawak sebelum dibawa ke Parlimen untuk kelulusan akhir," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dapat bekerjasama bagi memastikan proses tersebut berjalan lancar tanpa dipengaruhi polemik politik.
"Saya berharap semua pihak, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun Negeri, dapat bekerjasama secara konstruktif dan mengelakkan polemik politik yang tidak membantu rakyat. Apa yang lebih penting ialah memastikan suara rakyat Sarawak, termasuk masyarakat luar bandar dan pedalaman, mendapat representasi yang sewajarnya," katanya.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu lagi, usaha memperkukuh representasi politik Sarawak selaras dengan semangat Malaysia MADANI dan Malaysia Agreement 1963 dalam memastikan pembangunan negeri itu dilaksanakan secara inklusif, adil dan seimbang.




Comments