30,000 peluang pekerjaan baharu bukan gula gula pilihan raya


Oleh: Hassan Abdul Karim
ULASAN: Sebanyak 30,000 peluang pekerjaan baru dijana menerusi Belanjawan 2027. Ini bukan kata-kata saya. Ini pernyataan yang dibuat oleh Menteri Ekonomi.
Peluang-peluang pekerjaan baru ini tentu sekali untuk generasi muda yang baru tamat sekolah, tamat institusi kemahiran (TVET), dan universiti-universiti.
Anak-anak muda lepasan SPM jika mula memasuki alam pekerjaan akan menerima gaji minima RM2,000 sebulan.
Anak-anak muda yang ada sijil kemahiran, walaupun separuh mahir akan menerima gaji minima RM2,500 sebulan.
Anak-anak muda yang lulus sebagai siswazah universiti akan menerima gaji minima RM2,500 sebulan.
Gaji minima tangani kos sara hidup
Anak-anak muda yang ada kepakaran dan kemahiran teknologi tinggi lulusan universiti atau TVET yang bekerja di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan ( GLC) atau Syarikat-syarikat Pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan menerima gaji minima yang dinaikkan dari RM3,100 kepada RM3,400 sebulan, yang akan memberi menafaat kepada 23,000 orang.
Kenaikan gaji minima ini akan membantu pekerja-pekerja muda dan keluarga mereka menangani masalah kos sara hidup yang meningkat tinggi.
Lain-lain menafaat kepada generasi muda ialah keputusan kerajaan menyerap seramai 9,000 orang doktor-doktor kontrak yang ramainya doktor-doktor muda ke jawatan tetap di sektor awam yang terjamin.
PTPTN disusun semula
Tidak itu sahaja, keputusan kerajaan menyusun semula skim pembayaran hutang PTPTN ke atas graduan universiti dan institusi pengajian tinggi amat melegakan anak-anak muda yang berkaitan. Mereka yang berpendapatan kurang RM2,500 sebulan diberi penangguhan membayar pinjaman PTPTN tersebut.Manakala yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan dikehendaki membayar hanya RM50 sebulan.
Kerajaan amat mengambil perhatian tentang ramainya anak-anak muda yang jatuh bangkrap dan diisytiharkan muflis oleh mahkamah. Untuk itu kerajaan telah mengemukakan dasar iaitu nilai ambang tindakan kebangkrapan di mahkamah dinaikkan dari RM100,000 kepada RM150,000. Pengumuman ini akan memberi peluang kedua untuk anak-anak muda yang muflis untuk kembali bebas sebagai warganegara yang merdeka dari belenggu kebangkrapan.
Sepuluh hujah di atas adalah bukti yang saya lihat, bahawa belanjawaan 2027 Kerajaan Persekutuan tersebut bukannya gula-gula atau dedak yang ditabur menjelang pilihanraya umum ke-16 yang akan datang seperti dihujahkan oleh pihak pembangkang.
Tetapi 10 langkah berstruktur yang dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan seperti disenaraikan di atas, bagi saya, adalah usaha Kerajaan Madani untuk membina generasi akan datang yang lebih baik kehidupannya.
Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang




Comments