top of page

PRN Melaka: PH beri saingan sengit, keputusan tidak bergantung kepada ramalan

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
5 hours ago
2 min read
Datuk Dr Fuziah turun padang bagi memastikan jentera pilihanraya KEADILAN dalam keadaan terbaik
Datuk Dr Fuziah turun padang bagi memastikan jentera pilihanraya KEADILAN dalam keadaan terbaik

Pakatan Harapan (PH) yakin mampu memberikan saingan sengit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menerusi kekuatan jentera, komitmen calon serta usaha berterusan mendapatkan kepercayaan pengundi.


Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa peluang PH tipis memandangkan keputusan pilihanraya ditentukan oleh sokongan rakyat dan bukannya ramalan penganalisis politik.


"Saya menghormati pandangan penganalisis politik tetapi saya berpandangan terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa peluang KEADILAN dan Pakatan Harapan di Melaka adalah tipis.


"Sejarah politik negara telah berkali-kali membuktikan bahawa percaturan dan ramalan politik tidak semestinya mencerminkan keputusan sebenar rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook.


Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata pihaknya beliau sendiri turun padang melawat dan membantu persiapan jentera di kesemua sembilan Bilik Gerakan Utama Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi KEADILAN selepas pengumuman calon.


Beliau melihat kesungguhan, disiplin dan komitmen jentera parti yang sedang bekerja keras bagi memastikan setiap kawasan diberikan perhatian sewajarnya.


"KEADILAN tidak turun ke Melaka sekadar untuk melengkapkan jumlah calon atau menjadi pelengkap pertandingan. Kita turun untuk bersaing secara serius, menawarkan pilihan kepada rakyat dan berusaha memenangi kepercayaan pengundi," katanya.


Menurut beliau, KEADILAN turut mengetengahkan calon muda yang membawa idea segar, perspektif baharu serta pendekatan lebih dinamik untuk mendekati rakyat.


Fuziah berkata calon yang diketengahkan bukan sahaja perlu berani membawa perubahan malah mempunyai kredibiliti dan keupayaan untuk bekerja demi kepentingan rakyat.


Beliau menyatakan penilaian pengundi tidak seharusnya tertumpu kepada parti semata-mata sebaliknya mengambil kira prestasi, kestabilan dan kemampuan pihak yang mahu diberikan mandat untuk mentadbir.


"Kita sedar cabarannya besar dan tidak pernah menganggap kemenangan itu mudah. Tetapi jangan terlalu cepat menolak kemampuan KEADILAN dan Pakatan Harapan untuk mencabar kedudukan sedia ada," ujarnya.


PRN Melaka ke-16 menyaksikan PH bertanding di 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN dengan KEADILAN diperuntukkan sembilan kerusi, DAP tujuh kerusi dan AMANAH lima kerusi.


Pada PRN Melaka 2021, PH memenangi lima kerusi DUN manakala Barisan Nasional (BN) memperoleh 21 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian.


Fuziah berkata keputusan pilihan raya akhirnya bergantung kepada keupayaan parti mendapatkan keyakinan rakyat dan bukannya ramalan pihak luar.


"Akhirnya, pilihanraya bukan ditentukan oleh siapa yang paling yakin membuat ramalan tetapi siapa yang berjaya meyakinkan rakyat," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page