top of page

Status perkhidmatan Shuhaily dalam proses dimuktamadkan - KDN

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
4 hours ago
2 min read

Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih dalam proses memuktamadkan urusan perkhidmatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain susulan dua pertuduhan mencederakan anggota polis yang dihadapinya di mahkamah pada minggu lalu.


KDN berkata pihaknya mengambil perhatian dan menghargai pandangan masyarakat berhubung urusan perkhidmatan pegawai berkenaan.


"KDN akan memastikan urusan tersebut dilaksanakan secara teratur mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa," kata KDN dalam kenyataan hari ini.


Terdahulu Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail memberitahu kedudukan Mohd Shuhaily dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan pandangan perundangan sebelum tindakan lanjut dipertimbangkan.


Beliau berkata perkara berkenaan turut dibangkitkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) sebelum diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan memandangkan penugasan Mohd Shuhaily di AKPS dibuat bagi tempoh dua tahun dengan perkenan baginda.


Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab terhadap Mohd Shuhaily sebagai pegawai polis yang dipinjamkan untuk berkhidmat di agensi berkenaan.


Sebarang tindakan berkaitan status perkhidmatannya perlu mengambil kira nasihat perundangan dan terma penugasan yang berkuat kuasa, ujarnya dipetik media tempatan.


Mohd Shuhaily, 54, pada 21 Oktober lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis, Lans Koperal Faiz Saman dan Lans Koperal Ekmal Sofwan Dirman.


Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu berkaitan kejadian yang didakwa berlaku di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.


Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali. Mahkamah membenarkan beliau diikat jamin RM1,500 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 25 November ini untuk pengurusan kes.


Kes berkenaan mendapat perhatian selepas video yang memaparkan Mohd Shuhaily berhadapan dengan dua individu di KLIA tular sebelum laporan polis dibuat berhubung dakwaan berlaku kekasaran fizikal.


Beliau sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menghadapi proses perundangan dan menyerahkan keputusan kepada pihak berkuasa.


Dalam pada itu, KDN menegaskan keutamaan kementerian adalah memastikan AKPS terus berupaya melaksanakan tanggungjawabnya secara optimum bagi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.


Kementerian itu berkata penubuhan AKPS yang kini memasuki tahun kedua bertujuan memperkukuh pengurusan kawalan dan perlindungan sempadan negara termasuk memastikan kelancaran urusan, melindungi hasil negara serta memelihara integriti dan disiplin.


"Dalam menguruskan hal ehwal perkhidmatan pegawai, KDN turut memberikan perhatian kepada kesinambungan operasi dan kelancaran pelaksanaan tugas di AKPS," kata kenyataan itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page