Pagar kenderaan pacuan empat roda: Cadang tangguh sementara penguatkuasaan


Kerajaan Persekutuan digesa menangguhkan sementara tindakan penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap pengubahsuaian pagar di bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda milik pekebun kecil di Murum dan Belaga, Sarawak.
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit berkata penangguhan itu dicadangkan sementara satu penyelesaian yang sesuai dikaji, tertakluk kepada penilaian risiko keselamatan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Selain itu beliau berkata, Kerajaan Persekutuan juga digesa mengadakan dialog bersama masyarakat setempat, termasuk wakil pekebun kecil, pemimpin masyarakat, persatuan peladang dan pihak berkuasa, bagi memahami keperluan sebenar penduduk serta mengelakkan salah faham.
"Seterusnya kaji semula peraturan sedia ada, termasuk kemungkinan pindaan undang-undang atau pewujudan garis panduan khas yang munasabah bagi kenderaan pekebun kecil di kawasan pedalaman, dengan syarat keselamatan jalan raya terus dipelihara.
"Kemudian mewujudkan mekanisme kelulusan atau pengubahsuaian yang praktikal dan mampu dipatuhi, supaya pekebun kecil dapat mengangkut hasil pertanian mereka tanpa dibebani syarat yang tidak bersesuaian dengan kemampuan dan keadaan setempat.

"Saya ingin menegaskan bahawa gesaan ini bukan bertujuan menolak undang-undang atau mempertikaikan tanggungjawab JPJ, sebaliknya, kita mahu memastikan bahawa undang-undang dilaksanakan secara adil, berhemah dan mengambil kira kepentingan rakyat.
"Kepentingan rakyat itu khususnya golongan berpendapatan rendah yang bergantung kepada hasil pertanian untuk meneruskan kehidupan," kata beliau dalam kenyataan.
Abun berkata, sesuatu kesalahan jangan hanya dilihat dari sudut peraturan tetapi pada masa sama mengambil kira kehidupan rakyat di sebalik kesalahan tersebut.
Ujar beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang, bagi pekebun kecil di Murum dan Belaga setiap tandan buah sawit yang diangkut merupakan hasil titik peluh mereka untuk menyara keluarga.
"Saya berharap Kerajaan dan JPJ dapat mendengar keluhan masyarakat pedalaman serta mencari jalan penyelesaian yang adil dan praktikal.
"Sementara kajian dan perbincangan dijalankan, pertimbangan sewajarnya perlu diberikan agar tindakan penguatkuasaan yang berkaitan tidak menjejaskan mata pencarian pekebun kecil secara tidak seimbang.
"Peraturan perlu menjaga keselamatan rakyat, tetapi pelaksanaannya juga perlu memahami realiti kehidupan rakyat," katanya lagi.




Comments