top of page

Pelarian tetap dihantar pulang, rundingan dengan Myanmar diteruskan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam Perhimpunan Bulanan KDN, hari ini
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam Perhimpunan Bulanan KDN, hari ini

Kerajaan Malaysia akan meneruskan usaha menghantar pulang pelarian ke negara asal, termasuk melalui rundingan dengan Myanmar bagi membawa keluar kumpulan seterusnya, selagi tiada keputusan mahkamah yang mengarahkan sebaliknya.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pendirian itu kekal meskipun Majlis Peguam Malaysia memohon penangguhan penghantaran pulang berkenaan, namun permohonan itu ditolak mahkamah.


"Justeru, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) akan meneruskan rundingan dengan pihak Myanmar bagi penghantaran pulang kumpulan seterusnya, selagi tiada keputusan mahkamah yang mengarahkan sebaliknya," katanya selepas Perhimpunan Bulanan KDN, hari ini.


Mengulas cadangan memberikan akses pekerjaan kepada pemegang Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), Saifuddin berkata langkah itu bukan laluan untuk pelarian menetap secara kekal di Malaysia, sebaliknya satu mekanisme pengurusan sementara yang tertakluk kepada syarat dan kawalan kerajaan.


Beliau berkata cadangan berkenaan bertujuan mengurus pelarian yang sudah berada di negara ini, selain membolehkan mereka memperoleh kemahiran dan pengalaman bekerja sementara menunggu penyelesaian akhir.


"DPP bukan laluan untuk pelarian menetap secara kekal di Malaysia. Sebarang akses pekerjaan adalah bersifat sementara dan tertakluk kepada syarat serta kawalan kerajaan.


"Cadangan ini bertujuan mengurus pelarian yang sudah berada di negara ini, di samping membolehkan mereka memperoleh kemahiran dan pengalaman bekerja sementara menunggu penyelesaian akhir.


"Matlamatnya tetap sama, iaitu mereka perlu meninggalkan Malaysia melalui saluran yang ditetapkan," katanya.


Menurut Saifuddin, kerajaan turut menetapkan Januari 2023 sebagai tarikh akhir kelayakan bagi program DPP, sekali gus memastikan program itu tidak menjadi ruang kemasukan pelarian baharu ke negara ini.


Mereka yang memasuki Malaysia selepas tarikh berkenaan tidak akan dipertimbangkan di bawah program itu, katanya.


Tiada kewarganegaraan diberikan


Saifuddin turut menegaskan bahawa pendaftaran melalui DPP, pengesahan identiti atau kebenaran bekerja tidak memberikan hak automatik kepada pelarian untuk memperoleh kewarganegaraan Malaysia mahupun menetap secara kekal di negara ini.


Sebaliknya, beliau berkata DPP berfungsi sebagai instrumen kawalan dan pengurusan pelarian melalui pendaftaran biometrik, tapisan keselamatan serta rekod keberadaan yang sahih.


Langkah itu membolehkan kerajaan mengenal pasti identiti dan lokasi mereka serta menentukan tindakan sewajarnya, termasuk penghantaran pulang, penempatan semula ke negara ketiga atau pengusiran mengikut undang-undang.


Mengakui isu pelarian membawa cabaran berterusan kepada negara, Saifuddin berkata kehadiran mereka memberi kesan terhadap aspek ekonomi, sosial, politik dan keselamatan.


Katanya, depot tahanan imigresen juga berdepan masalah kesesakan apabila jumlah tahanan melebihi kapasiti, sekali gus meningkatkan kos pengurusan serta risiko berkaitan kesihatan dan keselamatan.


Dalam keadaan itu, KDN perlu meneruskan penguatkuasaan dan pengurusan tahanan, selain mencari penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu berkenaan.


"Sebab itulah kerajaan meneruskan rundingan dengan Myanmar. Kita tidak boleh menyelesaikan masalah pelarian yang telah berlarutan selama beberapa dekad tanpa kerjasama negara asal, pendataan yang sahih dan tindakan berlandaskan undang-undang," katanya.


Beliau menegaskan matlamat kerajaan adalah untuk menyelesaikan isu legasi pelarian di Malaysia dan bukannya mengekalkan mereka di negara ini melalui pelaksanaan DPP.


"DPP adalah langkah ‘data-driven’ yang membolehkan kerajaan mengurus keberadaan mereka secara terkawal sehingga penyelesaian akhir dilaksanakan.


"Kepentingan rakyat, keselamatan dan kedaulatan negara tetap menjadi keutamaan," katanya lagi.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page