Pelan Induk JS-SEZ dilancar di mesyuarat Leaders' Retreat Malaysia - S'pura
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Kementerian Ekonomi menegaskan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berjalan mengikut perancangan dengan Pelan Induk dijadual dilancarkan secara strategik pada suku keempat tahun ini sempena mesyuarat Leaders' Retreat antara Malaysia dan Singapura.
Kementerian itu memaklumkan, JS-SEZ merupakan inisiatif ekonomi rentas sempadan yang melibatkan kedua-dua negara, justeru pelancarannya perlu disusun dengan teliti bagi memastikan keselarasan dasar, kesiapsiagaan pelaksanaan serta keyakinan pelabur terus diperkukuh.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, keputusan Perdana Menteri untuk menyelaraskan pelancaran Pelan Induk JS-SEZ di peringkat Leaders' Retreat membuktikan komitmen Malaysia memastikan kerjasama dua hala diperkukuhkan di peringkat tertinggi.
"Keputusan Perdana Menteri untuk menyelaras pelancaran Pelan Induk JS-SEZ di peringkat Leaders' Retreat oleh pemimpin tertinggi kedua-dua negara pada suku keempat tahun ini menunjukkan strategi Kerajaan Malaysia memastikan komitmen dua hala di peringkat tertinggi, sekali gus memberi impak publisiti dan keyakinan berskala global," katanya.
Beliau berkata, kemajuan JS-SEZ tidak seharusnya diukur berdasarkan tarikh pelancaran sesuatu dokumen semata-mata, sebaliknya perlu dinilai melalui hasil pelaksanaan serta impak ekonomi yang berjaya diwujudkan.
"Kemajuan JS-SEZ perlu dinilai berdasarkan hasil serta impak ekonomi yang nyata, dan bukannya bersandarkan kepada tarikh pelancaran dokumen semata-mata. Data pelaburan semasa membuktikan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa terhadap pasaran Johor kekal utuh serta konsisten," katanya.
Menurut Kementerian Ekonomi, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Johor dan agensi pelaksana akan terus diperkukuh bagi memastikan semua inisiatif di bawah JS-SEZ dilaksanakan secara tersusun.
Kementerian itu akan memastikan kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor dan agensi pelaksana terus kukuh supaya pelaksanaan JS-SEZ kekal tersusun, dan inisiatif tersebut menjadi model kerjasama ekonomi yang berdaya saing, terangkum dan mampan demi membuka peluang pelaburan sebenar, pendapatan bernilai tinggi dan manfaat kepada rakyat.




Comments