Pelan damai tidak sempurna, M'sia fokus henti pertumpahan darah di Gaza
- Suara Keadilan

- Oct 4
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan terus berdiri teguh bersama perjuangan rakyat Palestin walaupun wujud pelan damai 20 perkara yang dibentangkan oleh Amerika Syarikat (AS)
Menurut Perdana Menteri, pelan damai tersebut tidak sempurna dan jauh daripada memenuhi tuntutan sebenar.
Oleh itu, katanya, keutamaan ketika ini adalah menyelamatkan nyawa rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Zionis, meskipun terdapat banyak perkara dalam pelan tersebut yang tidak dipersetujui.
"Kita boleh terus berpolemik dan berpencak lidah di sini tetapi hakikatnya yang merana ialah puluhan ribu nyawa yang sudah terkorban di Gaza.
"Tanggungjawab kita adalah menghentikan kezaliman Zionis, memastikan bantuan makanan dan minuman sampai, serta menyalakan harapan buat mereka yang masih bertahan," katanya dalam hantaran di media sosial.
Menurut Anwar, sokongan negara-negara Arab dan Islam terhadap pelan damai itu bukan bermakna mereka bersetuju dengan semua garis panduan yang terkandung dalam pelan tersebut.
Namun, jelas beliau langkah bersama itu adalah demi menghentikan pertumpahan darah, menolak pengusiran dan membolehkan rakyat Gaza kembali ke tanah air mereka.
"Malaysia akan berdiri teguh bersama Gaza, terus memantau, terus bersuara, dan terus membongkar kemunafikan Zionis agar nyawa dan maruah yang tersisa tetap dipertahankan," tegas beliau.
Dalam kenyataan rasmi terkini, Hamas menyatakan bahawa mereka menerima beberapa unsur dalam pelan AS tersebut, khususnya komitmen untuk membebaskan tebusan dan menyerahkan urusan pentadbiran Gaza kepada pihak bebas.
Namun mereka menegaskan bahawa aspek-aspek berkaitan masa depan Gaza dan hak rakyat Palestin tidak boleh dilaksanakan tanpa rundingan menyeluruh berdasarkan undang-undang antarabangsa dan konsensus dalam kalangan pihak Palestin.
Hamas juga menyatakan bahawa pelan tersebut tidak termasuk tuntutan mereka agar Israel menarik keluar kekuatan ketenteraannya dan tidak menyebut kewajipan pemansuhan senjata (disarmament) sebagai langkah awal dalam pelan perdamaian yang dicadangkan oleh AS dan Israel.
Beberapa tokoh dalam Hamas turut menyebut bahawa pelan tersebut memerlukan pindaan penting agar tidak hanya menjadi pelaksanaan syarat sepihak yang mengorbankan hak-hak Palestin.









Comments