top of page

Bersihkan rumah ibadat tidak ikut peraturan, PBT dibenar bertindak – PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 3 min read

PM berucap mengenai isu rumah ibadat haram di Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara
PM berucap mengenai isu rumah ibadat haram di Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara

Oleh: Helmi Foad


Pihak berkuasa tempatan (PBT) diberi kebenaran membersihkan kawasan rumah ibadat termasuk kuil yang dibina tanpa kebenaran dan tidak mengikut peraturan ditetapkan selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan demi menjaga keharmonian negara.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ketetapan itu dibuat bagi menamatkan kekeliruan berpanjangan serta mengelakkan isu rumah ibadat dijadikan bahan hasutan dan sentimen perkauman melampau.


"Saya dengan ini, mahu umumkan ketetapan kita, tidak lagi mengizinkan yang tidak mengikut peraturan dan Majlis Bandaran (PBT) diberi keizinan untuk bertindak supaya dibersihkan kawasan yang bukan hak kuil, supaya selesai masalah ini dengan baik," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di Putrajaya hari ini.


Hadir sama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan timbalannya Yuneswaran Ramaraj, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid.


Tegas Perdana Menteri pendirian kerajaan jelas dan konsisten iaitu semua rumah ibadat sama ada masjid, gereja atau kuil wajib mematuhi peraturan termasuk mendapatkan kelulusan sah pemilik tanah dan pihak berkuasa.


"Masjid yang dibangunkan, (perlu) ikut peraturan. Gereja yang dibangunkan, ikut peraturan. Jadi semua yang lain pun begitu juga," katanya.


Dalam hal ini Anwar mengingatkan agar semua pihak perlu mencari jalan penyelesaian dan bukannnya mencetuskan pergaduhan.


"Dan ini bukan perkara baru, timbul muncul seolah-olah ini perkara baru, baru berlaku semalam, hanya di bawah PMX, kacau bilau, amboi!


"Padahal semua kerajaan masa itu, masa BN perintah, masa PN perintah, masa Pas perintah, siapa sekarang? Sebahagian KEADILAN, Kerajaan Perpaduan, hal itu berterusan. Jadi kalau tanya saya, haruskah kita cari penyelesaian? Saya jawab, ya."


Menurut beliau, isu penggunaan istilah seperti ‘kuil haram’ tidak seharusnya menjadi punca pertelingkahan sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada pematuhan undang-undang.


Anwar turut menolak dakwaan bahawa kerajaan bersikap pilih kasih atau cuba menghalalkan pembinaan rumah ibadat di atas tanah yang dirampas atau diambil tanpa kebenaran.


"Kalau tanah orang, mana boleh kita nak buat rumah ibadat, kita rampas tanah orang… tanah yang tidak sah, dipaksa, dirampas ataupun diambil tanpa kebenaran dan nak dijadikan sah. Tak boleh," tegasnya.


Dalam masa sama, beliau menjelaskan kerajaan bersedia mempertimbangkan kes tertentu berdasarkan faktor sejarah dan keadaan setempat namun menegaskan ia bukan kelulusan automatik.


"Kalau satu-satu kes katanya betul tidak ada kebenaran lagi, tapi sudah ada 200 tahun, dia nak minta pertimbangan, itu dia rayu kes lain, diberi pertimbangan. Tetapi, jangan guna alasan sudah ada (kuil) di bawah pohon itu, wajib diluluskan," katanya.


Perdana Menteri turut memberi contoh Kuil Batu Caves di Selangor sebagai rumah ibadat yang sah dan mendapat kelulusan kerajaan termasuk cadangan pembinaan eskalator bagi kemudahan penganut Hindu.


"Batu Caves itu sah. Ada cadangan Batu Caves nak buat escalator… pandangan saya tak apa, dia tak ganggu tanah kita, dia tak paksa, dia tak rampas orang lain," katanya.


Anwar pada masa sama memberi amaran kepada semua pihak agar tidak mengambil tindakan sendiri termasuk kempen merobohkan kuil secara melampau atau mempertahankan pembinaan yang jelas melanggar undang-undang.


"Kalau yang melampau, sampaikan ada kempen nak robohkan kuil. Pun salah, bukan kerja kamu, kita negara ini negara hukum," katanya.


Beliau menegaskan, mempertahankan agama mesti dilakukan mengikut lunas undang-undang dan akhlak, bukan melalui penghinaan atau cercaan terhadap penganut agama lain.


"Nak tunjuk hero, hendak jadi pejuang Islam, buat dakwah dengan baik, tunjuk peribadi yang baik… bukan untuk menghina dan mencerca," katanya.


Anwar turut mengingatkan bahawa sentimen perkauman dan keagamaan yang tidak dibendung boleh mengundang bencana besar kepada negara seperti yang pernah berlaku dalam sejarah dunia.


"Kecuaian ini akan mengundang malapetaka… jangan kita remehkan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page