PBB, UNHCR wajib kongsi tanggungjawab tangani pelarian Rohingya


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Agensi Pelarian PBB (UNHCR) digesa memainkan peranan lebih besar dalam menangani krisis Rohingya, termasuk menyediakan pembiayaan, perlindungan dan penempatan semula bagi mengelakkan beban terus ditanggung Malaysia.
Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mokhtar berkata, tanggungjawab menangani krisis berkenaan perlu dikongsi masyarakat antarabangsa dan tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada negara yang menerima pelarian.
Menurutnya, Malaysia selama ini memberikan bantuan atas dasar kemanusiaan, namun kepentingan rakyat tempatan serta kemampuan negara turut perlu diambil kira.
"Dalam masa yang sama, PBB melalui UNHCR serta masyarakat antarabangsa perlu memainkan peranan yang lebih besar dan nyata dalam menangani krisis Rohingya.
"Tanggungjawab tersebut tidak sepatutnya diterjemahkan hanya dengan meminta Malaysia terus menerima dan menanggung kesan krisis yang berlaku di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan.

Fakhrulrazi berkata, antara langkah yang perlu dipertingkatkan ialah bantuan kewangan, perlindungan kepada pelarian, penempatan semula ke negara ketiga serta sokongan kepada negara tuan rumah.
Beliau menegaskan, jika krisis Rohingya diiktiraf sebagai isu kemanusiaan antarabangsa, tanggungjawab menyelesaikannya juga perlu dipikul secara bersama.
"Jika krisis Rohingya diiktiraf sebagai isu kemanusiaan antarabangsa, maka tanggungjawabnya juga mesti dikongsi oleh masyarakat antarabangsa," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa Malaysia bukan negara menyertai Konvensyen Pelarian 1951 mahupun Protokol 1967 berkaitan status pelarian.
Sehubungan itu, katanya, isu pelarian di Malaysia perlu dilihat dengan mengambil kira kedudukan negara berhubung kedua-dua instrumen antarabangsa berkenaan, selain keperluan menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat tempatan.
Menurutnya, kepentingan rakyat Malaysia dalam aspek pekerjaan, perumahan, pendidikan, kesihatan dan penggunaan sumber awam tidak boleh diketepikan dalam menangani isu tersebut.
"Malaysia tetap boleh memilih untuk memberikan bantuan atas dasar kemanusiaan, tetapi kemampuan negara mempunyai batas. Kepentingan rakyat Malaysia dari segi keselamatan, pekerjaan, perumahan, pendidikan, kesihatan dan sumber awam juga perlu diberi perhatian," katanya.
Sehubungan itu, Fakhrulrazi menyeru masyarakat Rohingya supaya memainkan peranan lebih aktif dalam membina kehidupan dan memperjuangkan masa depan komuniti mereka, di samping memanfaatkan bantuan yang disediakan.
Bagaimanapun, beliau membezakan usaha mempertahankan kehidupan daripada tindakan melarikan diri bagi menyelamatkan nyawa ketika berdepan ancaman.
Katanya, usaha membantu komuniti berkenaan tidak seharusnya menyebabkan tanggungjawab membina masa depan mereka diserahkan sepenuhnya kepada pihak lain.
"Bantuan boleh diberikan, tetapi usaha, keberanian dan tanggungjawab tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada rakyat Malaysia," ujarnya.
Beliau menegaskan, bantuan kepada pelarian perlu dilaksanakan dengan mengambil kira prinsip kemanusiaan dan kemampuan negara, selain memastikan masyarakat antarabangsa turut menyumbang kepada penyelesaian jangka panjang.
Tegas beliau, sudah tiba masanya PBB, UNHCR dan masyarakat antarabangsa menunjukkan komitmen lebih nyata bagi memastikan krisis Rohingya ditangani secara bersama, bukannya terus menjadikan Malaysia sebagai tempat menanggung kesan krisis berkenaan.




Comments