Pasca PRN Melaka: Kemenangan pilihanraya dibina melalui gerak kerja berterusan - Dr Johari


Kemenangan pilihan raya tidak dibina pada saat kempen semata-mata. Ia bermula dengan kerja berterusan di lapangan, hubungan yang kukuh dengan masyarakat, kepercayaan rakyat serta jentera yang bergerak secara tersusun dan berdisiplin - Dr Johari
Kemenangan dalam pilihanraya tidak boleh dibina hanya ketika musim kempen, sebaliknya memerlukan gerak kerja berterusan di lapangan, hubungan kukuh dengan masyarakat dan kepercayaan rakyat yang dipupuk sepanjang masa.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Terangganu, Datuk Dr Mohd Johari Mohamad berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 kelmarin yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi empat daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dijadikan pengajaran penting untuk memperkukuh organisasi parti.
Menurutnya, keputusan yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh 21 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi menuntut seluruh kepimpinan dan anggota KEADILAN melakukan muhasabah serta menilai semula kekuatan parti di peringkat akar umbi.
"Kemenangan pilihan raya tidak dibina pada saat kempen semata-mata. Ia bermula dengan kerja berterusan di lapangan, hubungan yang kukuh dengan masyarakat, kepercayaan rakyat serta jentera yang bergerak secara tersusun dan berdisiplin," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kemerosotan sokongan kepada PH perlu dinilai secara terbuka bagi mengenal pasti kelemahan, khususnya dari aspek gerak kerja jentera, pendekatan kepada pengundi dan keberkesanan komunikasi di lapangan.
Katanya, perkembangan politik di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan turut memberikan mesej jelas bahawa KEADILAN perlu memperkukuh kekuatan sendiri, memperkemas jentera pilihan raya dan memastikan kehadiran parti benar-benar dirasai rakyat.
"Saya percaya Presiden KEADILAN merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kebijaksanaan dalam menilai perkembangan politik semasa.
"Namun perkembangan di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan memberikan mesej yang jelas bahawa KEADILAN perlu terus memperkukuh kekuatan sendiri," ujarnya.
Elak sengketa sesama sendiri
Dalam pada itu, Mohd Johari mengingatkan anggota parti supaya tidak membiarkan perbezaan pandangan, persaingan dalaman atau perbezaan kelompok menjadi punca perpecahan.
Sebaliknya, beliau menyeru seluruh pimpinan, anggota dan penyokong KEADILAN kembali kepada semangat perjuangan serta memperkukuh solidariti bagi memastikan parti bergerak sebagai satu pasukan.
Menurutnya, kekuatan sesebuah parti bukan hanya bergantung kepada kepimpinan tertinggi, tetapi turut ditentukan oleh kesatuan anggota, kesetiaan jentera dan keupayaan bekerja secara berpasukan.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama politik di peringkat Persekutuan dan negeri perlu dibina atas asas saling menghormati serta komitmen yang jelas, tanpa mengabaikan tanggungjawab memperkukuh organisasi parti sendiri.
"Saya ingin menyeru seluruh pimpinan, anggota dan penyokong KEADILAN agar mengelakkan sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh mencetuskan perpecahan.
"Kita perlu mengetepikan perbezaan dan menyatukan tenaga untuk memperkukuh parti. Tidak ada gunanya kita mempunyai strategi yang baik sekiranya jentera tidak bergerak seiring," katanya.
Beliau berkata, setiap peringkat kepimpinan perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh kerjasama, membina solidariti dan memastikan seluruh kekuatan parti digerakkan ke arah matlamat yang sama.
"Sudah tiba masanya kita memperkukuh KEADILAN, bukan melemahkannya dengan perpecahan. Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan, membina solidariti dan bekerja dengan lebih tersusun.
"Kekuatan kita ialah kesatuan, dan kemenangan hanya dapat dicapai apabila seluruh jentera bergerak dengan tekad serta semangat yang sama," katanya lagi.




Comments