Malaysia pertahan kerusi Majlis ITU penggal 2027 - 2030


Malaysia berjaya mempertahankan kerusi sebagai Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027 hingga 2030 dalam pemilihan yang berlangsung di Doha, Qatar.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kejayaan itu membolehkan Malaysia terus memainkan peranan secara langsung dalam perbincangan dan keputusan yang menentukan hala tuju sektor telekomunikasi dunia.
Beliau berkata, Malaysia merupakan antara 48 negara anggota Majlis ITU yang mempunyai tanggungjawab penting dalam membentuk dasar serta pembangunan teknologi komunikasi antarabangsa, termasuk teknologi generasi akan datang seperti 6G.
"Sebagai salah satu daripada 48 negara anggota Majlis ITU, Malaysia terus terlibat secara langsung dalam perbincangan dan keputusan yang membentuk hala tuju telekomunikasi dunia, termasuk pembangunan teknologi generasi akan datang seperti 6G," katanya dalam kenyataan di media sosial.
Menurut Fahmi, Malaysia akan terus memastikan suara dan kepentingan negara diwakili dalam forum antarabangsa itu, termasuk memperjuangkan kepentingan negara membangun supaya tidak berlaku kolonialisme teknologi.
"Kita akan pastikan suara dan kepentingan negara terus diwakili, termasuk mengelakkan kolonialisme teknologi, supaya hala tuju pembangunan teknologi setiap negara tidak ditentukan oleh negara yang lebih maju semata-mata," ujarnya.
Beliau berkata, kejayaan mempertahankan kerusi berkenaan turut membuka peluang kepada Malaysia untuk berkongsi pengalaman, memperkukuh kerjasama antarabangsa serta memastikan pembangunan digital yang lebih inklusif.
Dalam pada itu, Fahmi merakamkan penghargaan dan tahniah kepada seluruh pasukan Kementerian Komunikasi, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas sumbangan mereka menjayakan usaha berkenaan.




Comments