Dr Zulkifli santuni masyarakat Kundasang dalam program Semarak Kasih MADANI


Pelbagai inisiatif kebajikan dan pengimarahan institusi agama dilaksanakan menerusi Program Semarak Kasih MADANI di Kampung Mesilou, Kundasang, Sabah bagi menyantuni masyarakat setempat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, program itu merangkumi pelbagai aktiviti termasuk gotong-royong mengecat Sekolah Agama Rakyat, bengkel tahsin solat, saringan kesihatan serta sukaneka komuniti.
Beliau berkata, pendekatan turun padang turut dilaksanakan menerusi ziarah dari rumah ke rumah bagi menyantuni warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan penduduk yang uzur.
"Sambil menggalas amanah menyantuni masyarakat, misi menawan puncak Kinabalu turut digerakkan sekali lagi, mengimbau kenangan kali terakhir menjejakkan kaki di puncaknya pada 31 Ogos 2022," katanya dalam kenyataan di media sosial.
Menurutnya, program kelmarin turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasa institusi agama dan meringankan beban komuniti menerusi penyerahan sumbangan kepada sekolah, masjid dan surau sekitar Kundasang.

Antara sumbangan disalurkan termasuk barangan keperluan asas, wang tunai, kelengkapan pengurusan jenazah serta peralatan masjid.
Dr Zulkifli turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atas kerjasama strategik bersama Yayasan Taqwa, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Lembaga Tabung Haji, DRB-HICOM dan Malaysian Relief Agency (MRA).
Beliau turut menghargai kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Mufti Negeri Sabah serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Mesilou dalam menjayakan program berkenaan.
Menurutnya, usaha menyantuni masyarakat dan memperluas agenda kebajikan perlu diteruskan bagi menyuburkan semangat kasih sayang serta memperkukuh kesejahteraan ummah.
Beliau turut mendoakan agar Malaysia terus kekal aman, damai dan sejahtera di bawah naungan rahmat Allah SWT.




Comments