PRN Melaka: PH perlu berubah, PRU-16 tidak boleh guna strategi lama - Yahya Sahri


PRU-16 tidak boleh dihadapi dengan strategi lama. PH perlu berubah, memperkukuh kesepaduan dan kembali memberikan keutamaan kepada agenda rakyat - Yahya
Pakatan Harapan (PH) perlu melakukan pembaharuan menyeluruh dan menilai semula pendekatan politik susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 14 Nov lalu yang menyaksikan gabungan itu hanya memenangi empat daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Negeri Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata keputusan itu merupakan isyarat politik yang perlu diberikan perhatian serius oleh seluruh kepimpinan PH.
Menurutnya, keputusan yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh 21 kerusi, PH empat kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi itu tidak seharusnya dilihat sekadar kekalahan di peringkat negeri.
Sebaliknya, kata beliau, keputusan berkenaan perlu dijadikan asas untuk menilai semula pendekatan politik, keberkesanan kepimpinan, kekuatan organisasi serta penerimaan rakyat terhadap PH dan Kerajaan MADANI.
"PH perlu melaksanakan post-mortem secara terbuka dan objektif bagi mengenal pasti faktor sebenar keputusan PRN Melaka.
"Penilaian perlu merangkumi prestasi calon, jentera pilihan raya, pola pengundian, isu setempat, komunikasi politik dan penerimaan rakyat terhadap kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, PH tidak boleh hanya menyalahkan kelemahan jentera atau faktor calon tanpa menilai persoalan lebih besar berkaitan tahap keyakinan rakyat terhadap gabungan itu.
Katanya, pencapaian Kerajaan MADANI juga tidak semestinya diterjemahkan secara automatik kepada sokongan politik sekiranya dasar kerajaan tidak benar-benar dirasai rakyat.

"PH perlu memastikan dasar kerajaan benar-benar dirasai rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendapatan, perumahan dan kesejahteraan keluarga.
"Komunikasi kerajaan juga perlu berubah daripada sekadar mengumumkan pencapaian kepada membuktikan keberhasilan dasar dalam kehidupan rakyat," katanya.
Sehubungan itu, Yahya mengemukakan beberapa cadangan bagi memperkukuh PH menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16.
Cadangan memperkukuh gerak kerja
Cadangan itu termasuk melaksanakan post-mortem menyeluruh PRN Melaka berdasarkan data dan fakta, menubuhkan Strategic War Room PH serta menjalankan audit prestasi kepimpinan, wakil rakyat dan organisasi parti.
Selain itu, beliau mencadangkan komunikasi Kerajaan MADANI diperkemas dengan naratif lebih konsisten dan dekat dengan rakyat, di samping mengaktifkan semula gerak kerja akar umbi menerusi khidmat masyarakat serta penyelesaian isu setempat.
PH juga perlu memperkukuh kerjasama antara parti komponen dan rakan gabungan serta menyediakan pelan strategik PRU-16 lengkap dengan sasaran, petunjuk prestasi dan pemantauan berkala.
Dalam masa sama, beliau menegaskan penyelarasan antara parti komponen, kepimpinan kerajaan, wakil rakyat dan jentera akar umbi perlu dipertingkatkan, termasuk melaksanakan penilaian prestasi kepimpinan secara berkala.
"Parti mesti hadir dan bekerja sepanjang masa, bukan hanya aktif menjelang pilihan raya," katanya.
Menurutnya, PRN Melaka perlu menjadi titik penting untuk PH melakukan muhasabah dan pembaharuan, bukannya terus bergantung kepada strategi, pendekatan komunikasi serta kekuatan politik masa lalu.
"Kepercayaan rakyat bukan sesuatu yang kekal. Ia perlu dibina melalui prestasi, integriti, kepimpinan yang bertanggungjawab dan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat.
"PRU-16 tidak boleh dihadapi dengan strategi lama. PH perlu berubah, memperkukuh kesepaduan dan kembali memberikan keutamaan kepada agenda rakyat," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan PH bukan sekadar mempertahankan kedudukan dalam kerajaan, sebaliknya memastikan keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi terus dipelihara.
"Jangan sekadar mempertahankan kerajaan, tetapi pertahankan keyakinan rakyat terhadap perjuangan reformasi," katanya lagi.




Comments