top of page

Pas mahu rebut kerusi Umno, sukarkan kerjasama BN-PN di Melaka

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Kerjasama BN-PN di Melaka tidak semulus di Negeri Sembilan. Di Melaka BN menghadapi dilema apabila Pas didakwa pemerhati politik mahu bertanding sehingga 16 kerusi DUN.


Sedangkan Umno-BN bertahan di 21 kerusi yang dimenangi mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2021 lalu.


Antara 16 kerusi yang dikatakan menjadi sasaran Pas ialah Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Taboh Naning, Rembia, Durian Tunggal, Pantai Kundor, Paya Rumput, Klebang, Pengkalan Batu, Ayer Molek, Duyong, Telok Mas, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.


Umno terancam


Situasi itu menyukarkan sebarang rundingan BN-PN memandangkan Melaka hanya mempunyai 28 kerusi DUN.


Kemaraan Pas di kerusi Melayu yang dipertahankan Umno itu akan menyaksikan slogan 'Melayu terancam' menjadi 'Umno terancam'.


Lebih menarik, senarai sasaran Pas turut merangkumi Rembia dan Merlimau yang mempunyai perkembangan politik tersendiri.


Rembia menjadi perhatian susulan penyandang DUN itu kini bersama Pas setelah meninggalkan Umno, manakala Merlimau pula merupakan kerusi yang disandang Dr Akmal Saleh yang sebelum ini lantang menolak kemungkinan kerjasama BN-PH.


Justeru, sebarang rundingan BN-PN bukan sekadar membabitkan soal penyatuan strategi menghadapi PRN, sebaliknya turut memerlukan kedua-dua pihak berkompromi mengenai kerusi yang mahu ditandingi.


Siapa akan berkorban?


Bagi pemerhati politik, persoalan yang perlu diutamakan kalau ada pemimpin Umno yang melihat Pas sebagai pasangan lebih sesuai berbanding PH, elok juga dijelaskan awal-awal: kerusi mana yang sanggup dikongsi?


Sebab Pas kalau datang berunding tentunya bukan sekadar mahu membantu ceramah dan memasang bendera. Mereka sudah ada senarai kerusi sendiri.


Pas sasar 16, BN mahu kekal 21 sedangkan Melaka cuma ada 28 kerusi.


Nampaknya sebelum bincang soal “mas kahwin” dalam kerjasama BN-PN, kedua-dua pihak kena selesai dahulu satu soalan asas: Siapa sebenarnya yang kena mengalah?

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page