top of page

Pas kering modal, guna ART cipta drama “Turun Anwar 2.0"

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 11 minutes ago
  • 2 min read
ree

Oleh: Helmi Foad


Pas semakin kehabisan modal politik apabila sanggup menjaja dakwaan tidak berasas kononnya Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) sebagai “perjanjian jual negara” tanpa memahami isi kandungannya.


Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata tindakan Pas itu hanya mencerminkan sikap putus asa politik apabila gagal menawarkan gagasan yang membina kepada rakyat.


"Mereka bercakap seolah-olah faham semua perkara, tetapi hakikatnya tidak tahu apa isi sebenar perjanjian ART. Bila tidak mampu berhujah dengan fakta, mereka memilih untuk menimbulkan kebimbangan dan fitnah di kalangan rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut Mahfuz, perjanjian berkenaan tidak menyentuh soal kedaulatan negara, sebaliknya membuka ruang lebih luas kepada pelaburan asing, pemindahan teknologi dan peluang pekerjaan berimpak tinggi terutama dalam sektor digital dan inovasi.


"Perjanjian ini adalah sebahagian daripada langkah strategik kerajaan untuk membawa Malaysia ke hadapan dalam era ekonomi berasaskan teknologi.


"Ia bukan soal tunduk kepada kuasa asing, tetapi tentang bagaimana kita memanfaatkan hubungan antarabangsa secara matang dan berprinsip," ujarnya.


Mahfuz turut menyifatkan himpunan “Turun Anwar 2.0” yang digerakkan pembangkang sebagai gerakan tanpa hala tuju jelas, sekadar bertujuan mencipta persepsi negatif terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Perjuangan mereka bukan untuk rakyat, tetapi untuk memenuhi agenda politik sempit. Pas dan sekutunya perlu berani tampil dengan idea baharu untuk membina negara, bukan sekadar menanam kebencian," katanya.


Beliau menegaskan kerajaan MADANI kekal komited mempertahankan maruah dan kedaulatan negara melalui dasar luar yang bebas, terbuka dan berpaksikan kepentingan rakyat.


"Malaysia berdiri sebagai negara berdaulat yang menjalin hubungan antarabangsa atas dasar saling menghormati. Kita tidak tunduk kepada mana-mana kuasa, tetapi juga tidak menolak kerjasama yang membawa manfaat kepada rakyat," tegasnya.


Mahfuz berkata ketika dunia yang saling bergantung, Malaysia perlu kekal progresif dan berfikiran terbuka agar tidak tertinggal dalam arus perubahan global.


"Kerajaan MADANI sedang membina asas kukuh untuk masa depan negara. Tanggungjawab kita ialah memastikan rakyat mendapat manfaat, bukan menanam prasangka terhadap usaha pembangunan," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page