Pas jangan jadi ‘juara bermusim’, bisu bila pemimpin sendiri biadab pada Sultan
- Helmi Mohd Foad

- May 22
- 2 min read

Pas diingatkan agar tidak menjadi “juara bermusim” dalam mempertahankan institusi Raja Melayu. Memilih berdiam diri apabila pemimpin parti itu terlibat tetapi bercakap berdegar degar apabila isu melibatkan pemimpin parti lawan.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) kesal Pas cepat melabel pihak lawan sebagai derhaka apabila isu institusi diraja timbul.
Sedangkan, katanya rakyat masih ingati kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang yang pernah menyatakan bahawa titah Yang di-Pertuan Agong bukan pemutus yang menghalang perubahan dalam sistem demokrasi dan perjalanan politik negara.
"Apabila melibatkan musuh politik mereka, Pas segera menuduh derhaka, mengapi-apikan emosi rakyat dan cuba menampilkan diri sebagai kononnya pembela institusi Raja Melayu.
"Namun apabila kenyataan sama datang daripada Presiden mereka sendiri, Pas terus membisu," katanya.
Mahfuz turut mempersoalkan tindakan Pas yang didakwa tidak pernah mengecam presidennya sendiri berhubung kenyataan tersebut.
"Mengapa Pas tidak mengecam Tan Sri Hadi Awang? Mengapa tiada himpunan bantahan di depan Istana Negara (seperti di Selangor) ketika Presiden Pas mengeluarkan kenyataan tersebut?
"Mengapa ukuran ‘derhaka’ Pas berubah ikut warna parti?" tanyanya.
Beliau mendakwa situasi itu menunjukkan prinsip politik Pas berubah mengikut kepentingan semasa.
"Bila lawan bercakap, mereka jerit derhaka. Bila pemimpin sendiri bercakap, mereka mula bercakap soal konteks, tafsiran dan demokrasi," katanya.
Dalam kenyataan sama, Mahfuz menegaskan beliau tidak mempertahankan mana-mana individu termasuk mantan pimpinan DAP, Tony Pua mahupun kenyataan Abdul Hadi, sebaliknya menekankan soal konsistensi dan kejujuran dalam politik.
Beliau berkata institusi raja tidak sepatutnya dijadikan alat politik bermusim untuk meniup sentimen kebencian dan kemarahan rakyat.
"Malaysia ialah negara Raja Berperlembagaan. Institusi raja mesti dihormati. Perlembagaan juga mesti dijunjung," katanya.
Mahfuz turut mengingatkan Pas supaya tidak menggunakan institusi istana sebagai pentas politik bagi meraih sokongan emosi orang Melayu.
"Kalau Pas benar-benar ikhlas mempertahankan institusi raja, mereka sepatutnya konsisten, bukan memilih siapa yang mahu diserang dan siapa yang mahu dilindungi," katanya.
Hj Hadi sebelum ini pernah menerima teguran terbuka daripada Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Februari 2024 susulan kenyataannya berhubung isu bidang kuasa mahkamah syariah dan kedudukan Raja-Raja Melayu.
Ketika itu, Sultan Selangor menzahirkan rasa “amat dukacita” terhadap tulisan Abdul Hadi yang diterbitkan di media Pas.
Baginda menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak beradab dan boleh mengelirukan masyarakat Islam.
Menurut surat rasmi daripada Istana Selangor yang didedahkan kepada umum, baginda berpandangan Hj Hadi gagal memahami secara menyeluruh titah Sultan Selangor semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), khususnya berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin yang membabitkan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan.
Sultan Sharafuddin turut menegur kenyataan Hadi yang dikatakan mengaitkan Raja-Raja Melayu dengan sikap “mengejar kepentingan dunia semata-mata”, sambil menegaskan kenyataan sedemikian boleh membawa perpecahan dalam kalangan umat Islam dan orang Melayu.
Baginda menasihatkan Hj Hadi supaya tidak mengulangi tindakan menghina Raja-Raja Melayu serta tidak menimbulkan polemik yang boleh menggugat perpaduan rakyat.




Comments