top of page

Palestin undang Malaysia sertai usaha bina semula Gaza

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • May 7
  • 1 min read

Malaysia disifatkan sebagai penyokong antarabangsa Palestin yang paling konsisten dan berprinsip dalam perjuangan berterusan negara itu untuk mencapai kenegaraan dan hak menentukan nasib sendiri.


Duta Besar Palestin ke Malaysia, Jehad Fouad Alqdra (gambar) memuji dan merakamkan penghargaan atas pendirian kerajaan dan rakyat Malaysia yang terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin.


"Saya datang ke sini dengan mandat jelas daripada Presiden saya Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Mohammad Mustafa yang mengarahkan saya untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan Malaysia.


"Dan saya bertuah dalam perkara ini kerana saya tidak menghadapi sebarang masalah untuk menyampaikan naratif Palestin kepada kerajaan dan rakyat Malaysia. Malaysia telah lama menyedari situasi ini sejak awal lagi dan sentiasa menyokong kami," katanya dipetik.


Alqdra memulakan tugasnya sebagai Duta Besar Palestin ke Malaysia pada Oktober tahun lalu.


Sementara itu, beliau turut menyeru hubungan Malaysia-Palestin yang berakar umbi daripada semangat solidariti, saling menghormati dan nilai kemanusiaan diperluas ke bidang lain seperti ekonomi dan perdagangan.


Alqdra turut menyatakan rasa optimis Malaysia mampu memanfaatkan pengaruhnya di platform serantau dan antarabangsa serta dalam forum pelbagai hala bagi mengetengahkan penderitaan kemanusiaan yang berterusan di wilayah yang diduduki.


"Kami berharap Malaysia dapat menggunakan hubungan baiknya dengan negara lain untuk menyokong perjuangan kami," tambahnya.


Dipetik laporan sama, beliau turut mengundang Malaysia untuk menyertai usaha pembinaan semula Gaza selepas perang.


"Kami berharap Malaysia juga dapat memainkan peranan lebih aktif dalam proses pembinaan semula dengan membawa teknologi dan kepakaran pembinaan bagi membantu kami," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page