Pakej ekonomi Selangor fasa dua fokus lindungi industri, jamin peluang kerja
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) memberi komitmen memastikan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa kedua yang sedang dirangka bakal memastikan sektor perindustrian terus beroperasi dan rakyat tidak kehilangan pekerjaan ekoran ketidaktentuan ekonomi global.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi mengelak rakyat terdesak akibat kehilangan sumber pendapatan sehingga menjejaskan kesejahteraan dan kehidupan mereka.
"Ketika pandemik lepas (Covid-19), ekonomi tidak stabil. Di luar negara, apabila berlaku krisis tidak menentu ini, peluang pekerjaan hilang. Jadi ada (penduduk) sampai yang terpaksa menjual tubuh.
"Kita nak elakkan perkara ini. Sebab itu kita nak lindungi semua industri supaya pekerja tidak terkesan. Untuk jaga maruah ekonomi, maknanya kena kerja. Bukan merompak, mencuri. Sebab itu kita kena bekerjasama (dengan pihak industri).
"Kita akan siapkan pakej untuk memulihkan industri dan orang akan bekerja dengan bermaruah. Ekonomi runcit, perkhidmatan, perkilangan terus berjalan supaya rakyat terus ada pekerjaan," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu pada sesi dialog bersama mahasiswa sempena program Jerayawara Siswa Kita Selangor Zon Selatan di Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru.
Pada 16 April lalu, Amirudin mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai RM131 juta.
Pakej tersebut yang dijadualkan dilaksana mulai Jun depan bagi membantu rakyat serta industri negeri itu menghadapi kesan krisis bekalan tenaga global yang semakin mencabar susulan ketegangan di Asia Barat selain. mengukuhkan bekalan makanan dan mengawal inflasi akibat konflik Asia Barat.
Sementara itu, beliau yang juga Naib Presiden KEADILAN sementara itu menegaskan, kejayaan sesebuah negara bukan hanya diukur menerusi pembangunan fizikal dan kemajuan ekonomi, sebaliknya kepada nilai maruah, daya tahan serta kekuatan jiwa rakyat.
"Kita bukan nak maju dari segi fizikal, akal tetapi roh dan juga jiwa," tambahnya.




Comments