NutriSel sedia sarapan pagi percuma untuk 106 ribu pelajar
- Akmal Manaf

- 1 day ago
- 1 min read

Selepas tiga minggu dilaksanakan, Program Nutrisi Selangor (NutriSel) yang menyediakan sarapan dan makan tengah hari percuma kepada pelajar sekolah di negeri itu menerima sambutan menggalakkan dengan kira-kira 106,000 pelajar daripada 932 sekolah menikmati manfaat berkenaan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, pelaksanaan program itu kini memasuki minggu ketiga dan sebahagian pelajar telah menerima makanan percuma sebanyak enam kali menerusi agihan dua kali seminggu.
"Alhamdulillah penerimaan yang sangat baik. Saya boleh kata 90% daripada sekolah-sekolah ini telah menghantar laporan dan ada sebahagiannya sedang menunggu proses.
"Untuk daerah Pendidikan Petaling Utama, kita mempunyai lebih kurang 84 sekolah yang menikmati atau terlibat dalam program ini.
"Ia melibatkan lebih 6,000 pelajar-pelajar yang menikmati makan pagi atau tengah hari. Untuk sesi petang, kita berikan makan tengah hari dan untuk sesi pagi, pelajar akan menikmati sarapan pagi.
"Walaupun sarapan pagi, tapi ia seperti ‘brunch’ sebab kita bagi mereka nasi, lauk, buah-buahan, sayuran dan air," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Simbolik Penyerahan Program Nutrisel Dan Penyampaian Program Bantuan Sekolah di SMK Taman Medan, di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya hari ini yang turut dihadiri Penyelaras DUN Taman Medan, Halimey Abu Bakar.
Untuk rekod, program NutriSel diilhamkan Amirudin sendiri yang mula dilaksanakan pada Ogos tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM14.4 juta di bawah Pakej Daya Tahan Selangor.
Inisiatif berkenan membekalkan sarapan atau makan tengah hari berkhasiat percuma melalui kantin sekolah.




Comments